Tarik saman demi keharmonian bola sepak tempatan

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) adalah satu langkah yang betul demi menjaga keharmonian senario bola sepak tempatan.

Lebih tepat, Redzuan menegaskan bahawa hubungan utuh secara diplomatik dan silaturahim di antara pengendali Liga Malaysia dan syarikat telekomunikasi gergasi itu haruslah berada dalam keadaan terbaik bagi terus memacu perjalanan bola sepak negara.

Iklan
Iklan

Justeru, Redzuan optimis MFL dan TM dapat mencari mekanisme terbaik untuk mengangkat kualiti Liga Malaysia selain berharap mana-mana pihak tidak cuba mensensasikan tindakan MFL yang sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap TM.

"Buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Sejujurnya saya tidak tahu apa konflik yang berlaku di antara MFL dan TM.

Iklan

"Saya tidak tahu berapa banyak (jumlah) tajaan, berapa lama perjanjian dan sebagainya tetapi apa yang saya dapat katakan mereka (MFL) telah mengambil tindakan yang betul (dengan menarik balik tuntutan saman).

"Hubungan di antara MFL selaku pengendali Liga Malaysia dan penaja (TM) sebenarnya sudah lama terjalin dengan baik. Kita sudah pasti tidak mahu mendengar perkara buruk melibatkan liga tempatan.

Iklan

"Jadi dengan perkhabaran seperti ini (MFL menarik balik tuntutan saman) adalah satu perkara positif dan menggembirakan buat penyokong bola sepak tempatan,” katanya.

Terdahulu, MFL telah mengumumkan pihaknya telah menarik balik tuntutan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia bagi musim 2019.