BELANJAWAN 2020 sudah hampir seminggu dibentangkan. Suka tak suka atau ada yang rasa tidak puas hati, simpan sahajalah perasaan itu dalam-dalam.
Kita semua sepatutnya sudah sedia maklum, pembentangan bajet setiap tahun memang penuh dengan kejutan.
Bercakap tentang bajet, Merak Jalanan bukan hendak bercerita tentang apa yang kerajaan nak beri, nak buat atau nak tarik tetapi nak bangkitkan soal bajet yang kita sebagai individu perlu fikir-fikirkan.
Iklan
Iklan
Bila bercakap soal bajet dan wang, ramai yang mengeluh gaji tak cukup, elaun kena potong, komisen kurang, macam mana nak hidup? Itulah realiti hari ini, suasana ekonomi sememangnya makin menyusut.
Duit pula ibarat air yang mengalir. RM50 pada ketika ini tidak lagi dianggap satu jumlah yang besar jika bercadang hendak keluar makan-makan atau membeli-belah di pasar raya ternama.
Baru-baru ini, seorang rakan mengaku ‘terkena’ ketika makan di sebuah restoran yang hanya taraf satu bintang. Cekik darah, katanya!
Makanan kena senduk sendiri, tidak ada tukang hantar air, semuanya berkonsepkan 'self service' tetapi apabila melihat harga yang ditulis pada kertas kecil di tepi pinggannya, dia hampir sahaja tersedak.
Seekor ikan berkuah singgang, sedikit sayur dan air buah, RM20 sepinggan! Nampaknya sesuatu perlu dibuat jika benar-benar mahu berjimat. Jangan biarkan tokeh-tokeh kedai berkuasa dengan menekan harga tidak masuk akal.
Dalam hal makan-makan, membawa bekal atau 'potluck' mungkin perlu menjadi satu kempen. Konsep sama perlu diterap dalam diri anak-anak, kempen bawa bekal ke sekolah, duit belanja disimpan.
Ya, nampak gayanya kita kena mula menabung dan tidak boleh lagi bersandarkan kepada pendapatan tetap yang mungkin akan lenyap sekelip mata. Ke mana kita?
Ada satu pesanan buat orang Kedah, hangpa bertuah sebab Sabtu ini KWSP nak beri hangpa panduan macam mana nak buat simpanan yang cukup untuk masa depan. Pi ke Hotel Royal Signature jam 9 pagi, rugi kalau hangpa tak ikut!