"JANGAN baring masa tengah azan. Nanti mayat kita berat kalau buat begitu."
Kata-kata itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling kita, bukan?
Malah, kanak-kanak kecil juga lancar menuturkan ayat-ayat itu kepada rakannya tatkala laungan azan berkumandang.
Persoalannya, benarkah ada nas yang menyatakan tentang larangan baring semasa azan? Benarkah mayat kita akan menjadi berat apabila berbaring semasa azan?
Sebelum merungkaikan tanda tanya berkenaan, kita perlu fahami terlebih dahulu apakah itu azan?
Azan merupakan antara syiar Islam agung yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam.
Ia dilaungkan pada setiap kali solat fardu dan kalimah-kalimah yang terdapat di dalamnya itu mengajak umat Islam supaya menghayati Tauhid dan menyeru agar kita segera menunaikan solat.
Azan juga sebenarnya mengajak kita agar bersama-sama menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.
Dalam sebuah hadis, memang ada riwayat yang menyebut supaya bangun ketika mendengar laungan azan.
Namun, ia merupakan hadis palsu kerana sanad hadis itu terdapat seorang perawi yang dihukum sebagai pendusta oleh kebanyakan ulama.
Bukan itu sahaja, semua hadis yang menyatakan bahawa sesiapa yang berbaring ketika azan, mayatnya menjadi berat adalah hadis palsu.
Perkara itu telah dinyatakan oleh Sheikh Ali Al-Halabi ketika beliau diajukan soalan berkenaan hadis-hadis berkenaan.
Meskipun begitu, janganlah kita lalai untuk menjawab azan yang dilaungkan.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:"Jika kalian mendengar seruan azan maka katakanlah seperti mana yang dikatakan oleh tukang azan.” (Riwayat al-Bukhari)
Sebaik sahaja mendengar laungan azan itu, buatlah persiapan untuk segera ke masjid atau surau berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah yang mempunyai banyak kelebihannya.
Antara kelebihan yang disebutkan Rasulullah SAW disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA.
Baginda SAW bersabda: "Sesiapa yang bersuci di rumahnya (berwuduk dan sebagainya) kemudian dia berjalan menuju ke mana-mana rumah ALLAH (masjid atau surau) untuk menunaikan kefarduan yang telah diwajibkan oleh ALLAH, maka salah satu langkahnya akan menghapuskan dosa dan langkah yang lain akan menaikkan darjatnya." (Riwayat Muslim)
Ingat ya, meskipun hadis mayat akan jadi berat jika berbaring ketika azan tiada, kita perlu meninggalkan apa sahaja tugas yang dilakukan untuk menyahut seruan ALLAH SWT.
Sesungguhnya kita semua diciptakan oleh ALLAH SWT dan kepada-NYA juga kita akan dikembalikan.
Apalah salahnya kita menunaikan apa yang diperintahkan-NYA untuk menunaikan solat pada waktunya.
(Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-399: Adakah Mayat Akan Menjadi Berat Jika Semasa Hidup Suka Berbaring Semasa Mendengar Azan, Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)