SHAH ALAM - Golongan muda disaran untuk merebut peluang yang diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang disifatkan sebagai 'bajet untuk anak muda'.
Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, kebanyakan anak muda hari ini tidak cakna tentang bantuan-bantuan yang diberikan kerajaan kepada mereka.
Beliau berkata, rata-rata mereka dilihat tidak peduli langsung tentang perkara ini.
"Berdasarkan Belanjawan 2020 kerajaan memberi penekanan kepada banyak perkara berkaitan anak muda antaranya seperti peluang pekerjaan, gaji minimum, bantuan sara hidup, rumah termasuk peruntukan e-wallet.
"Saya harap anak muda dapat merebut peluang dan ambil segala insentif diberikan untuk bantu kehidupan mereka," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Siri 134 Pasca Belanjawan: Siapa Untung Siapa Rugi di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini malam tadi.
Tambahnya, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperhebat aspek komunikasi agar segala maklumat berhubung bantuan-bantuan diberikan kerajaan dapat sampai kepada semua rakyat khususnya anak muda dan dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka.
Dalam pada itu Syahir berkata, anak muda juga perlu belajar mencipta pekerjaan sendiri dan tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.
Menurutnya, kerajaan sudah tidak mampu untuk memberi pekerjaan tetap dan kebanyakannya adalah kontrak.
"Nak harap kerajaan adakan pekerjaan hampir minima, nak harap GLC (syarikat berkaitan kerajaan) banyak jual aset, maka anak muda perlu cipta pekerjaan sendiri.
"Sektor digital adalah bidang yang boleh diberi tumpuan oleh anak muda dan buktinya. Kita ambil contoh sudah ramai yang menjadi jutawan seawal usia 30 tahun dengan hanya menjadi Youtuber," katanya.
Katanya, anak muda perlu memanfaatkan teknologi seperti ini sekali gus membantu untuk meningkatkan kehidupan mereka sendiri.
Wacana yang menampilkan Rizal Zulkapli (Astro Awani) sebagai moderator itu turut dibarisi panelis, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria.