PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu tegas mempertahankan peraturan yang dibuat oleh badan itu sendiri selain diharap tidak bersikap ‘double standard’, dalam isu melibatkan perpindahan pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bukan soal wang pampasan yang menjadi isu utama dalam kes berkenaan, sebaliknya isu pelanggaran peraturan yang harus diberikan perhatian.
Menurutnya, FAM hendaklah tegas dan bersikap adil dalam mengadili kes ini.
"Jika ada pihak langgar peraturan ditetapkan FAM sendiri, maka hendaklah tegas ambil tindakan. Yang kami mahu perbetulkan adalah isu utama, iaitu peraturan harus dipatuhi semua pihak, tidak boleh ada double standard,” katanya, pada sidang media, selepas penyerahan watikah pelantikan program ‘Future Leaders’ di Wisma Darul Aman, hari ini.
Mukhriz berkata, KFA membantah tindakan pasukan tertentu yang didapati menawarkan imbuhan kepada pemain secara pintu belakang.
"Apabila ada pasukan langgar peraturan, ini merugikan pihak lain, ini yang kita bantah. Kedah sudah beberapa kali alami situasi sebegini, pasukan lain pun pernah alami kes sama. Jika FAM tak boleh tegas pertahankan peraturan sendiri, siapa lagi,” soalnya.
Menurutnya, KFA turut menyangkal dakwaan konon pasukan itu gagal menjaga kebajikan pemain menyebabkan Muhammad Akhyar mahu berhijrah.
"Ini bukan soal duit, walaupun kita pasukan miskin dan tak boleh amalkan 'cash is king', kita juga tak buat tawaran seperti pasukan kaya lain, jauh sekali kita tak pandai jaga kebajikan pemain. Kebajikan pemain sentiasa dibincang termasuk dengan Muhammad Akhyar,” katanya.
Mukhriz berkata, perbincangan dua hala diamalkan dalam KFA bagi mengelak masalah perjanjian kontrak, dan pihaknya mahu pihak lain turut amalkan konsep sama.
"Mana boleh cadangkan sesuatu yang seolah mengikut peraturan, apabila punca masalah ialah pelanggaran peraturan. Bagi kami, tawaran kepada pemain ikut pintu belakang adalah kesalahan, untuk keadilan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) adalah yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, kes itu akan segera dibawa ke CAS memandangkan sudah lama berlarutan.
"Saya juga kurang yakin dengan sistem rayuan FAM, kerana kami sendiri tidak dijemput dalam mesyuarat jawatankuasa rayuan FAM, yang hadir hanya Muhammad Akhyar,” katanya.
Mukhriz turut menepis dakwaan kononnya KFA enggan melepaskan pemain berusia 19 tahun itu, sebaliknya mahukan keadilan.
"Kami tiada masalah jika dia mahu berhijrah, kami bimbang jika kes ini terlepas, akan ada banyak lagi masalah berlaku. KFA didik dia menjadi pemain terbaik dan kami benarkan mewakili negara, senang-senang saja ada pihak nak rampas, kenalah ikut peraturan,” katanya.
Menurutnya, pemain itu masih sah milik Kedah selagi isu pertukaran belum selesai.
"Bukan isu wang pampasan yang jadi keutamaan, walaupun daripada RM75,000 dinaikkan kepada RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA, bayar seringgit pun tak mengapa, tetapi harus bersikap adil,” katanya.