IPOH - Seorang anggota polis maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah kenderaan petugas Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) di Kilometer 283.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Pulai semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, Mohamad Haikal Izzuddin Abd Halim, 21, menunggang motosikal jenis Honda RS150 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Zakaria Abd Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Taiping terlanggar kenderaan PROPEL yang sedang bergerak perlahan membuat pengawasan di lorong kecemasan.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa merupakan anggota polis berpangkat konstabel yang bertugas di Balai Polis Pasir Hitam, Taiping," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
"Polis kini dalam usaha mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kes yang dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.