KUALA LUMPUR - Individu yang bertanggungjawab memuat naik kenyataan menyamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan anjing di laman sosial Twitter baru-baru ini dikesan berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dua laporan telah diterima berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh individu yang menggunakan nama 'Navin Pillai' itu dan siasatan telah dijalankan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
"Kita telah siasat latar belakang pemilik Twitter itu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta beberapa jabatan lain dan mendapati bahawa penama itu dikesan berada di luar negara.
"Polis tahu latar belakang dia dan ahli keluarganya yang berada di Lembah Klang. Jadi, kita akan dapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati individu berusia 38 tahun dan bekerja sebagai juruteknik itu dipercayai telah berada di luar negara sejak tahun 2007.
Bagaimanapun Huzir enggan mendedahkan nama negara terbabit berikutan siasatan sedang dijalankan pihaknya. Justeru, PDRM menegaskan orang ramai untuk tidak memuat naik berkaitan kenyataan yang sensitiviti yang menggugat keharmonian negara.
"Kes disiasat Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu seorang individu menggunakan nama Navin Pillai membalas ciapan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelik berbahasa Inggeris."Please vote in Parliment to defund and reduce salary of PDRM (Polis Diraja Malaysia); remind them who is the boss Mahathit or 50+ PKR Mps! Misbehaving dogs need to be disciplined.”
Selain itu, individu terbabit turut memuat naik gambar Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kapsyen ‘#petsatwork Anjing/Dogs and/bersama its Master/Tuhan.’
Dalam perkembangan lain polis juga mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akan hadir minggu ini di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik di Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman buru individu samakan polis dengan anjing