SURABAYA - Tidak tahan menanggung rindu, seorang anak menggali semula kubur ibunya dan membawa pulang jenazah wanita itu yang baru dikebumikan 40 hari lalu.
Menurut penduduk dikenali Amin, kubur bernama Allahyarhamah Sumarto, 70 tahun digali oleh anaknya, Nasir, 45, di kampung Desa Batur, Kecamatan Gading pada Isnin lalu.
Lokasi kubur itu di tanah perkuburan Desa Kedungsumur, Pakuniran.
Kata Amin, Nasir menggali kubur ibunya seorang diri dan mengusung jenayah ibunya sebelum dibawa pulang ke rumahnya.
"Bagi mengelak orang kampung mengetahuinya, dia mengusung jenazah ibunya di dalam guni dan dibawa pulang ke rumah selama dua hari," katanya kepada Tribunnews.
Bagaimanapun, perbuatan Nasir itu terbongkar apabila kakaknya, Sul mengetahui dan memujuknya untuk membawa semula jenazah ibu ke kubur.
Jurucakap polis Pakuniran berkata, lelaki itu dipercayai mengalami tekanan jiwa selepas ibunya meninggal dunia.
"Siasatan mendapati, anak ketiga dari empat beradik itu mengakui melakukan perbuatan itu kerana terlalu rindukan ibunya.
"Dia menggali kubur itu seorang diri tanpa pengetahuan sesiapa malah lokasi kubur itu jarang dilalui penduduk," katanya.
Pada awalnya, kejadian itu tidak diketahui oleh penduduk sehinggalah video durasi 2 minit memaparkan Nasir mengebumikan semula jenazah ibunya pada Ahad lalu, tular di media sosial.