KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal bukan sahaja diuji dengan penceraian, malah mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun yang mengidap penyakit lebihan cecair dalam kepala.
Wanita tabah itu, Fazatul Azren Husin, 32, berkata, anak bongsu daripada dua beradik, Ummu Damia Khalisya Saifful Amilin, 4, dikesan menghidap penyakit itu sejak berada dalam kandungan lapan bulan.
"Ketika itu, doktor memberitahu keadaan anak saya kritikal dan tak mungkin dapat hidup kalau dilahirkan dan jika lahir akan dianggap kelebihan andai mampu hidup sehingga dua minggu.
"Alhamdulillah anak saya bertahan dan dapat hidup sehingga sekarang, tapi kerap terkena sawan sehingga pernah 17 kali diserang penyakit itu dalam tempoh sehari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Bonggor, Binjai, di sini, hari ini.
Fazatul Azren yang bekerja sebagai tukang cuci sambilan berkata, Ummu Damia Khalisya bukan sahaja lumpuh seluruh badan, malah tidak mampu melihat mahupun bercakap selain hanya menangis sepanjang malam kerana akibat kesakitan kepalanya yang makin membesar.
"Dia tak dapat tidur lena dan kebiasaannya menangis dari jam 2.30 pagi hingga 6 pagi. Saya tak tahu dia sakit bahagian mana masa menangis, tapi naluri keibuan kuat mengatakan tangisan dia itu adalah kesakitan kerana menanggung kepala yang semakin membesar.
"Dalam keadaan dia menangis, saya hanya boleh gosok kaki, badan atau tepuk-tepuk dan mengulitnya seperti bayi sehingga dia tertidur apabila menjelang waktu Subuh,” katanya.
Menurutnya, bantuan kepadanya boleh disalurkan ke akaun BSN Fazatul Azren Husin 03003-41-00013210-3.