KUALA LUMPUR - Malaysia melakar pencapaian memberangsangkan dalam usaha membasmi kemiskinan namun masalah berkaitan kemiskinan masih wujud dan memerlukan perhatian dasar.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak lagi hanya bergelut dengan kemiskinan mutlak sebaliknya turut berdepan kemiskinan relatif, kelompok kemiskinan berterusan dan kemiskinan bandar selain ketidaksetaraan yang semakin meningkat.
"Sungguhpun kemiskinan luar bandar masih terus kritikal, kemiskinan bandar pula memerlukan perhatian dan preskripsi dasar. Kelompok kemiskinan berterusan menjadi penghalang kepada penyelesaian dasar di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu sempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019 di sini hari ini.
Menurutnya, perhatian rapi perlu diberi terhadap pengagihan pendapatan dan kekayaan kerana kemajuan ke arah mengurangkan kemiskinan akan terbantut melainkan penambahbaikan dalam pengagihan pendapatan dan kekayaan wujud seiring dengan pengurangan kemiskinan.
"Pengalaman mengajar kami bahawa pertumbuhan ekonomi itu sendiri tidak berpadanan dengan pembangunan bagi semua. Purata menyembunyikan banyak ketidaksetaraan.
"Sesebuah negara tidak boleh dianggapkan sebagai negara maju sekiranya terdapat segmen tertentu dalam kalangan penduduknya tidak mendapat akses kepada kemudahan asas, tidak mempunyai pekerjaan yang memberi mereka pendapatan secukupnya, tiada pekerjaan atau memperoleh hanya sedikit akses kepada aset yang produktif," katanya.
Katanya, sesebuah negara itu juga tidak dianggap maju jika sebahagian daripada penduduknya perlu berhempas pulas setiap hari untuk mencari nafkah dan hidup berjimat-cermat manakala anak mereka pula berdepan masalah kekurangan makanan berzat.
Dr Mahathir berkata, atas sebab inilah kerajaan melancarkan model ekonomi Malaysia baharu iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan membolehkan semua rakyat Malaysia untuk terus menikmati pertumbuhan yang saksama dan lestari di semua peringkat tanpa mengira kaum, tingkat sosial atau lokasi.
Menurutnya, matlamat wawasan itu adalah untuk merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kaum dan wilayah geografi; untuk mewujudkan sebuah ekonomi progresif dan muncul sebagai sebuah negara terulung di rantau ini.
"Tonggak utama model ini adalah berdasarkan kepada mempertingkatkan ekosistem perniagaan dan industri; mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu; penambahbaikan dalam modal insan, pasaran buruh dan upah.
"Wawasan Kemakmuran Bersama perlu untuk memastikan pembangunan masa depan Malaysia mengurangkan perbezaan antara kaya dan miskin; memperkukuhkan kesejahteraan sosial serta modal sosial dan pada masa sama, memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah. Ini akan memastikan pembangunan inklusif dan memenuhi matlamat untuk tidak meminggirkan sesiapa," katanya.
Dr Mahathir berkata, pada masa dahulu, kebanyakan strategi pembasmian kemiskinan adalah bersifat ‘top down’ dan dipacu kerajaan, bagaimanapun pendekatan ini tidak menghasilkan keputusan optimum.
Pada majlis itu, Dr Mahathir memuji Yayasan Sejahtera yang menggunakan Pendekatan Berasaskan Komuniti dalam usaha mereka untuk mendekati kalangan yang miskin dan tidak dilindungi.
Beliau berkata, menerusi Pendekatan Berasaskan Komuniti, semua strategi dan campur tangan diselaraskan di peringkat masyarakat serta dibuat berdasarkan andaian bahawa pendekatan ini memberi tumpuan kepada golongan miskin, adalah mampan dan berupaya memperkasakan golongan miskin.
"Menerusi pendekatan seperti itu usaha pelbagai pemegang kepentingan diselaraskan di peringkat komuniti dan diwujudkan untuk mempertingkatkan keadaan sosio ekonomi kesemua anggota masyarakat.
"Apabila masyarakat diperkasakan, maruah serta nilai diri mereka akan dipertingkatkan dan mereka akan mengambil daya usaha untuk memastikan golongan miskin dan tidak dilindungi dalam kalangan komuniti masing-masing diberi perhatian, mendapat peluang untuk mengeluarkan diri daripada belenggu kemiskinan serta mempertingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Dr Mahathir turut melancarkan Dana Pembangunan Komuniti bagi membolehkan Yayasan Sejahtera untuk terus melaksanakan projek berasaskan kemasyarakatan dan menggalakkan lebih banyak pertubuhan swasta untuk menyumbang kepada dana berkenaan yang akan digunakan bagi tujuan murni iaitu mewujudkan komuniti lestari di dalam negara ini. - Bernama