SEPANYOL terpaksa berhempas pulas untuk meraih keputusan Seri 1-1 menentang Sweden dalam aksi kelayakan awal pagi tadi sekali gus menempah tiket ke saingan Euro 2020.
Dalam perlawanan di Friends Arena itu, La Roja terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan penyerang Sweden, Marcus Berg pada minit ke-50 sebelum Rodrigo Moreno menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk menyelamatkan pasukan gergasi Eropah itu.
"Dalam bola sepak memang sukar untuk menjangka apa yang akan berlaku. Ada ketika kita bermain baik dan ada ketika kita dibayangi prestasi yang tidak menentu.
"Apa yang penting adalah kami sudah berjaya melayakkan diri dan ini waktunya untuk kami mengekalkan konsisten kami dalam setiap perlawanan," kata Moreno.
Keputusan ini menjadi hasil seri kedua yang diraih Sepanyol dalam pusingan kelayakan yang sebelum ini turut diikat Norway 1-1.
Ia sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan peminat yang melihat persembahan Sepanyol masih belum berada pada tahap yang terbaik.
"Saya gembira Sepanyol dapat melepasi pusingan kelayakan ini, tetapi kami tidak boleh berpuas hati kerana banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki.
"Semua orang boleh berkata tentang prestasi kami ketika ini, tetapi percayalah kami akan mengganas di saingan Euro nanti," katanya.
Sepanyol kekal mendahulu Kumpulan F dengan enam kemenangan daripada lapan perlawanan.