Bangladesh serah senarai baharu pelarian Rohingya kepada Myanmar

Iklan
Rohingya

AYAT FB: Bangladesh sebelum ini menyerahkan senarai nama kira-kira 55,000 pelarian Rohingya kepada Myanmar untuk pengesahan dalam dua fasa.

DHAKA - Bangladesh semalam menghantar senarai baharu kira-kira 50,000 pelarian Rohingya yang kini berlindung di kem pelarian Cox’s Bazar di negara itu kepada Myanmar, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Termasuk senarai baharu itu, Dhaka telah memberikan nama kira-kira 105,000 pelarian Rohingya kepada Myanmar dalam tiga fasa bagi mempercepat proses penghantaran pulang mereka ke Myanmar.

Iklan
Iklan

Bangladesh sebelum ini menyerahkan senarai nama kira-kira 55,000 pelarian Rohingya kepada Myanmar untuk pengesahan dalam dua fasa.

Bangladesh dan Myanmar pada Ogos lau telah memeterai satu perjanjian untuk memudahkan penghantaran pulang pelarian Rohingya bagi tempoh dua tahun akan datang.

Iklan

Bagaimanapun dua persiapan penghantaran pulang yang telah dirancang terpaksa dihentikan selepas pelarian Rohingya enggan pulang ke Myanmar atas alasan berkaitan isu keselamatan di negeri Rakhine.

Orang Rohingya telah menuntut agar diberikan kerakyatan dan jaminan keselamatan yang sewajarnya sebelum mematuhi proses penghantaran pulang.

Iklan

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas komuniti minoriti Islam pada Ogos 2017, yang melonjakkan jumlah orang dianiaya mencari perlindungan di Bangladesh melebihi 1.2 juta.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh tentera kerajaan Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Lebih 34,000 orang Rohingya turut dibakar manakala lebih 114,000 lagi dibelasah dengan teruk, kata laporan OIDA bertajuk 'Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience'.

Kira-kira 18,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya telah dirogol oleh tentera dan polis Myanmar manakala lebih 115,000 rumah milik orang Rohingya dibakar dan 113,000 lagi dirosakkan. - Bernama