KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan khidmat pengangkutan seperti gojek mampu membantu meningkatkan ekosistem e-dagang di negara ini.
Syed Saddiq berkata, negara luar seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia telah menjadikan rangkaian perkhidmatan dua roda itu satu platform untuk merancakkan ekonomi digital di negara itu.
"Kalau dilihat di Thailand mereka ada sistem e-dagang bagi penghantaran yang terbaik sebelum penyertaan grab bike dan gojek...ia ada pengangkutan (mengendalikan) dalam 10,000 pakej sehari tetapi selepas penyertaan (grab dan gojek) ia meningkat empat kali ganda.
"Ini bermaksud usahawan kecil dapat merasai nikmatnya kerana ekonomi e-dagang dapat berkembang dengan pesat. Jika kita pergi ke Bangkok, Indonesia dan Vietnam, mereka boleh pesan makanan di warung-warung dan dihantar terus ke rumah. Kita mahukan ekosistem itu kerana ia dapat membantu usahawan kecil,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bertajuk 'Why The Need For Gojek' bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain serta editor-editor kanan media lain di Wisma Bernama hari ini.
Syed Saddiq sekali lagi mengulangi ekosistem perkhidmatan pengangkutan dua roda perlu dilihat dalam skop yang luas dengan pelbagaikan servis seperti penghantaran makanan dan dikembangkan kepada ekonomi digital keseluruhannya.
"Adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan ekosistem pekerjaan itu dapat ditambah baik dan pada masa yang sama ia bukan sahaja melibatkan pengangkutan dua roda, kita perlu lihat daripada penghantaran makanan, e-dagang dan banyak yang lain.
"Lihat pula dari segi penghantaran makanan di Malaysia sekarang lebih kepada restoran terkemuka kerana tiada satu ekosistem yang agak baik di mana sampai warung-warung kecil depan rumah kita itu pun boleh disertakan dalam ekonomi tidak formal melalui ekonomi digital ini," katanya. - Bernama