Isu royalti: Tuduhan MB Kelantan bohong biadab

Iklan
Mohd Asri

KOTA BHARU - Tindakan pihak tertentu menyebarkan kenyataan menuduh kerajaan Kelantan telah menipu rakyat mengenai isu royalti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan adalah perbuatan biadab.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, kenyataan 'Datuk Ahmad Yakob dan Kerajaan Negeri Menipu Rakyat’ dan seumpamanya tidak menghormati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan masih bersidang.

Iklan
Iklan

"Kenyataan rasmi dalam DUN telah ditular secara tidak profesional oleh pihak yang tidak bertanggungjawab lalu memfitnah menteri besar dan kerajaan negeri telah menipu rakyat Kelantan.

"Tambahan pula DUN Kelantan sendiri telah meluluskan usul dengan sebulat suara melahirkan rasa dukacita dan kesal di atas kenyataan tersasar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tersebut.

Iklan

"Pihak yang menuduh Menteri Besar Kelantan berbohong sebenarnya adalah mereka yang keliru atau sengaja menyembunyikan maklumat sebenar dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah RM28,372,598.25 yang diterima oleh kerajaan negeri pada 21 Februari, 26 Mac dan 18 September tahun ini sebagaimana yang ditularkan adalah wang ihsan dan bukannya wang royalti.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan tidak sepatutnya menyalurkan wang ihsan (sebagaimana kenyataan bersurat menyebut Pemberian Wang Ehsan Negeri Kelantan) kerana ia bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memansuhkan program wang ihsan dan hanya akan menyalurkan royalti kepada Kelantan berdasarkan kenyataan beliau pada 7 Julai tahun lalu.

"Maka yang dikatakan wang tunai yang diterima pada tahun 2019 adalah atas nama wang ihsan walaupun disalurkan kepada akaun kerajaan Negeri Kelantan.

"Sebelum ini wang ihsan hanya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan sahaja.

"Wang tunai royalti sebanyak lima peratus sekiranya mengambil anggaran yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM681,169,052.00, bagi tahun 2017 pula RM1,030,226,056.00 dan bagi tahun 2018 sebanyak RM1,106,505,418.00.

"Jumlah wang ihsan yang disalurkan (yang didakwa wang tunai royalti) sebanyak tiga kali bagi tahun 2019 sangat tidak menunjukkan ianya adalah wang tunai royalti.

"Pelbagai usaha kerajaan negeri lakukan bagi mendapatkan royalti sehingga ke saat ini, termasuklah Program Solat Hajat dan Munajat Royalti pada 9 Oktober lalu, kenyataan rasmi Menteri Besar Kelantan di DUN, usul yang diluluskan di DUN kesemuanya adalah bukti jelas bahawa Kelantan masih tidak menerima bayaran royalti," katanya.