KUALA LUMPUR - Libatkan diri dalam perniagaan walaupun berniaga kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan ke arah kehidupan lebih baik.
Mesej itu disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 yang tinggal di bandar dalam usaha mempertingkatkan tahap sosioekonomi mereka dan keluar daripada kemiskinan bandar.
Seterusnya mereka perlu memperkembangkan perniagaan itu.
"Kami dapati ada sesetengah komuniti di Malaysia tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk memperkembangkan perniagaan mereka.
"Mereka amat statik dan sebaik saja mereka peroleh cukup wang untuk membiayai keperluan harian, mereka tidak melakukan sebarang usaha untuk memperkembangkan perniagaan yang mereka ceburi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019 di sini hari ini.
Oleh itu beliau berkata, kerajaan harus mendidik mereka tentang keperluan untuk memperkembangkan dan memperluaskan perniagaan supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan di kawasan bandar.
Perdana Menteri menjelaskan fenomena itu berlaku di seluruh dunia yang mana penduduk dari kawasan luar bandar berhijrah ke bandar dengan harapan supaya mereka dapat mencari kerjaya yang lebih sesuai dan meraih pendapatan lebih baik di kawasan bandar.
"Ia sebenarnya menggambarkan kemiskinan luar bandar. Disebabkan itu, mereka datang ke bandar, tetapi mereka datang tanpa kelulusan yang sesuai dan prospek yang wajar.
"Jika mereka tidak membenarkan diri mereka dilatih, maka pendapatan mereka akan rendah. Bagaimanapun, kami boleh membantu dengan memberi mereka latihan, mewujudkan peluang, dan memperbanyakkan tawaran pekerjaan, supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan miskin bandar,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana kerajaan Pakatan Harapan dapat mengawal harga barangan ketika kos sara hidup terus menjadi masalah utama, Dr Mahathir berkata, kerajaan melakukan yang terbaik untuk mengawal harga barangan dan mengharapkan kerjasama sektor swasta supaya harga barangan terus rendah sungguhpun mereka sendiri perlu memperoleh keuntungan yang munasabah.
"Harga barangan tidak ditetapkan oleh kerajaan melainkan bagi barangan tertentu. Jika kami menetapkan harga bagi semua barangan, maka ia akan menjadi ekonomi terkawal, bukan lagi ekonomi bebas.
"Dalam ekonomi bebas, sektor swasta berpeluang untuk menetapkan harga tetapi jika harga menjadi tidak munasabah, (atau) mereka memperoleh keuntungan yang melampau, ketika itu mungkin kerajaan akan campur tangan,” katanya. - Bernama