KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke menegaskan tindakannya yang menunjukkan tanda protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59 Isnin lalu hanya sebagai proses untuk mendemokrasikan kampus.
Menjelaskan perkara itu, Yan Ke berkata, sudah beberapa kali melakukan protes malah memorandum turut dihantar kepada pihak universiti, namun tiada jawapan diterima.
"Dulu saya adalah seorang aktivis mahasiswa dan pernah membuat beberapa protes tentang pelbagai isu antaranya kenaikan yuran dan bas.
"Saya hantar memorandum ke pejabat naib canselor untuk isu terbabit namun mereka langsung tidak pernah memberi jawapan balas dengan tuntutan berkenaan," katanya.
Dia berkata demikian sebagai mengulas mengapa dia tidak memilih pentas yang lebih sesuai untuk protes berkenaan ketika ditemui media di hadapan Balai Petaling di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Biadab! Graduan protes di pentas konvo
Terdahulu, graduan jurusan kejuruteraan awam itu hadir ke balai berkenaan bersama peguamnya, Asheeq Ali untuk dirakam keterangan berhubung laporan polis diterima membabitkan kontroversi tersebut.
Dalam pada itu, Yan Ke turut mempertikaikan susulan kegagalan universiti untuk menyerahkan slip ijazahnya biar pun sudah dituntut pada tengah hari tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: PLAS UM gesa universiti tahan skrol, transkrip Yan Ke
"Saya dimaklumkan oleh kerani di situ (pejabat) bahawa slip saya kotor dan perlu untuk dibaiki. Bila saya minta bukti, mereka kata tidak boleh. Bila saya tanya adakah ini disebabkan tindakan protes saya tempoh hari, mereka tidak menjawab soalan itu.
"Saya membantah naib canselor kerana beliau gagal melaksanakan tugas dengan baik dan sekadar boneka terhadap ahli politik hingga menjejaskan nama universiti. Ini hanya agenda politik beliau (naib canselor), usah kata saya yang memalukan universiti," katanya.
Sementara itu, Asheeq berkata, anak guamnya itu tidak bersalah dan apa yang berlaku itu hanya sekadar kritikan dan tidak sepatutnya tergolong dalam kes jenayah.
"Saya difahamkan sudah lebih 10 laporan dibuat tentang isu ini. Hari ini kami hadir ke balai polis dan memberikan kerjasama baik siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan biadab: Petisyen tuntut UM tarik balik ijazah