Jamin bekalan mencukupi sempena Deepavali

Iklan
Saifuddin pada sidang media selepas merasmikan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 hari ini.

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan barangan bagi sambutan Deepavali adalah mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekalan tersebut dapat memenuhi keperluan dan permintaan pengguna di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pihak pengeluar, pengimport serta pembekal di seluruh negara bagi tujuan terbabit.

"Kita berani beri jaminan sebab kita tidak berdepan dengan masalah bekalan...pegawai-pegawai kita juga sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) sebelum ini...kalau tidak ada maknanya kita umumkan SHMMP (Skim Harga Maksimum Musim Perayaan) jika bekalan tidak ada (tidak mencukupi).

Iklan

"Jadi bila kita sudah pasti semua (bekalan) mencukupi, barulah kita boleh lancarkan SHMMP bagi memudahkan rakyat mendapatkan bekalan barangan diperlukan untuk menyambut Deepavali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 hari ini.

Iklan

Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 dijadualkan bermula Sabtu ini dengan menyenaraikan 19 barangan berbanding 16 barangan sebelum ini.

Saifuddin berkata, tiga barangan baharu yang tersenarai dalam SHMMP ialah cili kering, kubis bulat import dari Indonesia dan China dan bendi.

Katanya, tempoh SHMMP kali ini ialah selama 14 hari berbanding 10 hari pada tahun lalu yang bermula 20 Oktober atau tujuh hari sebelum perayaan dan berakhir 2 November. Skim ini dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Antara senarai harga yang kita sudah tetapkan ialah ayam hidup dijual pada harga RM5.30 setiap kilogram (kg) untuk borong, manakala harga runcit pula RM5.80/kg; ayam standard RM6.60/kg (borong) dan RM7.30/kg (runcit); daging kambing tempatan bertulang RM44.00/kg (borong) dan RM47.00/kg (runcit); daging kambing dan bebiri import bertulang RM20/kg (borong) dan RM25.00/kg (runcit).

"Semua senarai harga ini dapat diakses orang ramai melalui laman sesawang KPDNHEP dan pengguna yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh berbuat demikian dengan melayari portal e-aduan kami atau menghubungi pusat panggilan kerajaan Malaysia (MYGCC) di talian 03-8000 8000," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pemantauan harga sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali akan dilakukan secara bersama dengan pegawai pemantau harga dilantik KPDNHEP, kerajaan negeri dan agensi kerajaan berkaitan selain pembabitan pemimpin masyarakat setempat.