KEMAMAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang wanita yang didakwa menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor.
Hakim Azman Mustapha membuat keputusan tersebut terhadap Nur Najihah Zulkiflee, 27, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi memantau kesihatan mental tertuduh.
Nur Najihah, sebelum ini mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian anak perempuan kandungnya, Medina Sandra Mohd Saddly di sebuah rumah di Felda Neram 2, di sini pada jam 11.30 pagi 11 September lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan (Akta 357) yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Azman menetapkan 14 November untuk sebutan kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bunuh bayi 3 bulan didakwa