SEREMBAN - Kenyataan Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan Teluk Kemang, Nazrul Aznan Mohd Kadri berhubung penularan video dan gambar membabitkan Ketua Cabang Port Dickson, M Ravi yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di media sosial adalah pandangan peribadi beliau.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun pihaknya sudah memutuskan perkara itu (isu LTTE) agar ianya diserahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
Iklan
Iklan
"Ravi pun tidak dipanggil (setakat ini) untuk siasatan dan kita berharap masyarakat tidak mendahului dengan menghukum yang belum bersalah dikatakan bersalah lebih awal.
"Banyak kali saya ingatkan sebagai masyarakat dalam negara demokrasi ini boleh memberikan pandangan tetapi harus matang jangan kebudak-budakan," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Aminuddin berkata demikian susulan diminta mengulas mengenai kenyataan Nazrul Aznan yang dipetik dalam sebuah portal bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu tegas dan jangan berkompromi dalam soal keselamatan walaupun membabitkan pimpinannya sendiri.
Katanya, parti itu perlu memandang serius penularan video dan gambar membabitkan Ketua Cabang Port Dickson, M Ravi yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan kumpulan LTTE di media sosial.
Nazrul Aznan turut mengatakan ianya sangat memalukan parti, lebih lagi Port Dickson (Teluk Kemang) diwakili Presiden PKR juga bakal Perdana Menteri kelapan.