Jabatan Perikanan ambil sampel siput sedut

Iklan
Petugas Jabatan Perikanan Johor ketika mengambil sampel siput berkenaan.

BATU PAHAT - Jabatan Perikanan Negeri Johor sudah mengambil sampel siput sedut yang ditemui dalam jumlah banyak di Benteng Tanjung Labuh di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zamani Omar berkata, tindakan berkenaan adalah bagi membolehkan kajian dibuat berhubung dakwaan mengatakan spesies berkenaan mempunyai racun.

Iklan
Iklan

"Dakwaan siput berkenaan beracun tidak dapat dipastikan secara sah, tetapi sebelum perkara ini menjadi tular, memang ada penduduk setempat yang mengambil dan makan tetapi sehingga kini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keracunan makanan.

"Jadi kita ambil sampel ini kelmarin dan hantar ke Makmal Biosecurity Perikanan untuk mengesan atau mengenal pasti sama ada ia beracun ataupun tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Zamani memaklumkan fenomena yang berlaku di kawasan berkenaan adalah bukan bersifat semula jadi tetapi hasil tinjauan dan maklumat daripada penduduk memaklumkan semua siput berkenaan dibuang oleh pihak tertentu dengan sebab.

Terdahulu, kejadian luar biasa itu menjadi tular menerusi satu video di laman sosial Facebook yang mana memaparkan spesies berkenaan ditemui dalam jumlah yang amat banyak.

Iklan

Pemeriksaan di ruangan komen bagi video berkenaan kemudiannya mendapati terdapat segelintir pihak yang mendakwa siput tersebut adalah beracun dan tidak boleh dimakan.