BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa China bertindak menutup tiga masjid atas alasan ia menjalankan 'pendidikan agama yang melanggar undang-undang' di tengah-tengah tindakan kekerasan yang semakin meningkat ke atas aktiviti keagamaan di negara itu.
Kesemua masjid itu yang terletak di daerah Weishan di barat daya wilayah Yunnan diserbu lebih 100 anggota polis pada Sabtu lalu.
Rakaman video memaparkan serbuan itu turut dikongsi di Twitter oleh pertubuhan bebas yang mendokumentasikan Penindasan terhadap Orang Islam (DOAM) yang menunjukkan jemaah etnik Hui bergelut dengan pihak berkuasa ketika kumpulan itu cuba menghalang mereka daripada menutup masjid berkenaan.
Sebuah lagi klip memaparkan beberapa anggota polis mengheret jemaah dari pintu masuk masjid tersebut.
Sumber memberitahu kira-kira 40 hingga 50 orang jemaah turut ditahan, namun pihak berkuasa enggan mengesahkan ada sebarang tangkapan telah dibuat.
Menurut laporan South China Morning Post, serbuan di perkampungan Huihuideng, Sanjia dan Mamichang itu diselaraskan oleh Jawatankuasa Etnik Daeah Weishan dan Hal Ehwal Agama kononnya untuk melindungi keharmonian dan kestabilan agama domain.
"Masjid terbabit menjalankan pendidikan yang melanggar Peraturan dan Hal Ehwal Agama," jelas laporan itu.
Sementara itu, sumber di Yunnan memberitahu, masjid tersebut pernah cuba untuk mendaftarkan penubuhan mereka selama lebih sedekad, namun permohonan itu berulang kali ditolak. - Daily Mail