HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam terpaksa membentangkan dasar tahunan beliau menerusi video hari ini selepas beberapa anggota prodemokrasi di Majlis Legislatif (LegCo) mengganggu sesi tersebut.
Pembentangan dasar tahunan tersebut yang memfokuskan isu perumahan dan punca pendapatan rakyat tergendala selepas beberapa individu mula menjerit serta mengejek beliau.
Lam hanya sempat berucap tidak sampai seminit sebelum Presiden LegCo, Andrew Leung meminta kesemua ahli di dewan tersebut supaya bertenang.
Beberapa daripada anggota LegCo termasuk Tanya Chan daripada Parti Sivik diminta meninggalkan dewan tersebut kerana sengaja mengganggu prosedur tersebut, namun mereka enggan berbuat demikian.
Chan turut menggesa Lam meletak jawatan.
"Sejak empat bulan lalu, penduduk Hong Kong berdepan waktu yang sangat sukar tetapi pemimpin kami enggan memberi respons atau menyelesaikan masalah itu.
"Lima tuntutan kami sangat jelas. Jika beliau tidak boleh mentadbir atau tidak mempunyai keupayaan untuk memimpin bandar raya ini, tolong letak jawatan," katanya.
Tidak lama selepas insiden itu, kerajaan memaklumkan Lam akan menyampaikan ucapan tentang dasar tersebut menerusi video yang disiarkan menerusi stesen TV dan laman web www.policyaddress.gov.hk
Dalam satu sidang media, Lam berkata, beliau merasakan tanggungjawabnya sudah selesai walaupun berdepan gangguan tersebut.
Ketika disoal sama ada kejadian itu menunjukkan badan perundangan dan eksekutif kini berdepan ketegangan, beliau sedia bertemu dengan anggota legislatif.
"Esok masih ada peluang dan saya berharap sesi tersebut itu dapat berjalan seperti biasa," katanya. - Agensi