MELAKA TENGAH -"Saya tidak ditahan atau digari dan saya berada di pejabat saya di tingkat dua, Seri Negeri untuk beri keterangan kepada pihak polis," kata Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, kehadiran anggota polis dari Balai Polis Banda Hilir itu untuk mengambil keterangan susulan beliau membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh berhubung sebuah video yang tular dan memaparkan beliau bertegang urat leher dengan beberapa anggota polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Iklan
Iklan
Menurutnya, beliau kesal dengan tindakan individu yang menularkan video tersebut di media sosial beberapa jam lalu dan tujuan membuat laporan polis bagi mencari dalang penyebaran video terbabit.
Katanya, beliau turut menafikan desas-desus bahawa pejabatnya turut digeledah dan mengesahkan kehadirannya ke IPK itu sebagai sifat kemanusiaan untuk membawa ahli keluarga ahli DAP yang ditahan polis.
"Saya tidak tahu apa motif dan tujuan individu tersebut 'viralkan' video saya, adakah dia sakit hati atau mahu menjatuhkan maruah saya," katanya.
Difahamkan anggota polis telah datang ke pejabat Norhizam lebih kurang jam 7.30 malam tadi dan keluar dari Pejabat Kerajaan Negeri lebih kurang jam 9.30 malam.
Terdahulu, tular video berdurasi 0.38 saat Norhizam bersama pegawai khasnya, Mohd Muhaimin Abdullah dipercayai berselisih faham dengan beberapa anggota polis ketika membawa kira-kira ahli keluarga ahli DAP yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).