KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengulangi pendirian politiknya bahawa beliau setia bersama Umno.
Menurutnya, apa jua yang berlaku Umno tetap di hatinya meskipun parti itu tewas pada PRU14 lalu.
Iklan
Iklan
"Walau apa pun terjadi saya tetap bersama Umno. Saya tidak pernah gentar, takut mahupun menggigil sama sekali,” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebooknya.
Menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang tiada galang ganti kepada rakyat Malaysia, Ahmad berkata pemimpin Umno yang pergi biarkan mereka berlalu pergi.
"Umno adalah amanat orang Melayu dan rakyat Malaysia. Pemimpin Umno silih berganti datang dan pergi tetapi Umno tetap Umno,” katanya.
Ahmad berkata, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan pentadbiran PH dan mendakwa kerajaan kini hanya membawa nasib malang kepada rakyat Malaysia.
"Kerajaan PH adalah malapetaka besar buat rakyat Malaysia, berebut jawatan sesama sendiri sehingga suara rakyat diketepikan,” katanya.