SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) didesak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Abdul Razak 2019 dan bukan sekadar menerima permohonan maaf.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana pihak berkenaan dengan jelas telah mencabar sensitiviti agama dan perbuatan itu disifatkan melampau.
"Perbahasan tajuk debat berkenaan berkaitan kewajaran homoseksual dan penulisan al-Quran boleh mengundang kerosakan akidah para pelajar jika ia tidak dilatari dengan kefahaman yang betul dan tepat.
Menurutnya, debat adalah satu program yang baik dalam usaha melahirkan pelapis pemimpin berkaliber untuk masa depan negara.
Katanya, sepatutnya arena debat membincangkan tajuk berkaitan polisi dan dasar negara yang tidak melibatkan hal yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi.
"Debat adalah wadah untuk berhujah dan mengemukakan argumen bagi melahirkan pemimpin berkaliber dan bersemangat patriotik, namun ia tidak wajar menjadi pentas meracuni pemikiran pelajar dengan anasir liberalisme dan kebebasan tanpa had.
"Kita berharap semua pihak yang terlibat perlu mengambil kira sensitiviti agama dan pihak lain demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan semua pihak," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan penganjur pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang diadakan di Seremban telah memohon maaf berikutan kritikan terhadap tajuk debat yang menyentuh soal Islam dan al-Quran sehingga mencetuskan rasa tidak selesa kepada pihak terlibat.
ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur Debat Piala Tun Razak mohon maaf
KPM digesa ambil tindakan penganjur Debat Piala Tun Razak
Penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 kena mohon maaf secara terbuka
Dalam kenyataan bersama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal yang merupakan Ketua Pengadil berkata, usul debat berkenaan hanya bersifat hipotetikal dan bukannya cubaan untuk membawa 'agenda liberal.'