Pangsapuri mewah dan musang king

Iklan
Gambar hiasan.

PERKIRAAN @ congaknya macam mudah sangat: kalau rakyat tempatan tidak mampu membeli maka jual sahaja kepada orang luar.

Mudahnya berniaga seperti itu! Tetapi cara itu tidak disenangi rakyat. Sebab itu apabila ada cadangan menjual rumah mewah kepada warga China dan Hong Kong, ramai menentang.

Iklan
Iklan

Beberapa bulan lalu apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada warga asing, pandangan negatif umum ialah kita hendak menggadai bumi kita kepada China.

Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin menegaskan kempen itu tidak terbuka hanya kepada orang China sebaliknya kepada pembeli antarabangsa yang lain.

Iklan

Logik kempen tersebut, menurut menteri ialah kita mempunyai lambakan rumah mewah tidak terjual – nilai pasaran keseluruhannya melebihi RM100 bilion.

Walaupun rakyat menentang, apa yang beberapa bulan dulu dianggap cadangan kini telah menjadi kenyataan. Orang asing bebas membeli hartanah kita.

Iklan

Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu menyebut warga China atau mana-mana orang luar yang berduit boleh memiliki kondominium dan pangsapuri mewah di tempat kita.

Malah, ada perincian yang lebih menyakitkan hati: belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu menurunkan nilai ambang hartanah bagi pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Terdesak sangat kita dengan lambakan rumah mewah sehingga nilai ambang disusutkan seolah-olah kita seperti melelong buah durian.

Ketika berjuta rakyat kita berkeluh kesah tidak mampu memiliki rumah sekangkang kera, rumah mewah kita bagaikan dilelong kepada orang luar.

Semua tentu masih ingat pentadbiran lama Barisan Nasional (BN) dulu dikritik antaranya kerana menjual hartanah kepada orang asing khasnya China.

Rejim lama dikatakan sengaja menawarkan hartanah mewah kepada orang luar untuk menggadai maruah kita. Pemilikan asing dikaitkan dengan maruah.

Tetapi kini pentadbiran baharu macam tidak ada upaya lain sehingga terpaksa menawarkan lambakan rumah mewah itu pada ambang harga yang lebih rendah.

Sekurang-kurangnya pentadbiran silam bertegas mengekalkan pemilikan asing untuk hartanah bernilai lebih RM1 juta. Kini hendak membeli yang RM600,000 pun dibenarkan. Mana maruah kita?

Kita tidak perlu menunggu jutawan dari China atau Hong Kong untuk merebut rumah mewah yang berlambak itu; orang di seberang Tambak Johor pun mampu sebab RM600,000 lebih kurang 200,000 Singapura dolar sahaja!

Seperti yang dijelaskan lambakan kediaman mewah bernilai lebih RM100 bilion sekiranya tidak terjual memang boleh menjejaskan ekonomi kita dan merugikan pemaju.

Persoalannya ialah mengapa lambakan tersebut terjadi? Apakah pihak pemaju – termasuk agensi-agensi kerajaan terlibat – tidak memikirkan strategi pemasaran sebelum membina kediaman mewah seperti itu?

Sebagai pemaju profesional mereka termasuk Perbadanan Ekonomi Negeri-Negeri – tentu tahu trend pasaran hartanah dan boleh menjangka kediaman jenis apa yang boleh dijual.

Seperti yang terbukti sesetengah kediaman mewah itu terutama di Johor Bahru, dijual pada harga yang terlalu tinggi seolah-olah ia dibina memang untuk dijual kepada orang asing.

Apakah pemaju terlalu mengutamakan keuntungan berganda sehingga mengetepikan tanggungjawab sosial membina kediaman mampu milik rakyat sendiri?

Dalam hal lambakan RM100 bilion itu, pemaju patut dipertanggungjawabkan kerana membina kediaman yang diketahui tidak mampu dibeli oleh orang kita.

Dari masa ke masa kerajaan meminta pemaju mendirikan lebih banyak perumahan mampu milik pada harga RM150,000 – RM300,000.

Sekiranya dibina rumah mampu milik – bukan hanya mampu lihat! – pasti tidak akan timbul masalah rumah tidak terjual.

Malangnya kebanyakan pemaju terbukti terlalu rakus dan hanya mengutamakan kondominium dan pangsapuri mewah semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Biasalah orang kita hanya mampu menelan air liur apabila rumah mewah berharga RM juta-juta itu akhirnya terlepas ke tangan pemilik asing khasnya dari China.

Sama kesnya orang kita menelan liur apabila durian musang king yang mahal itu dihantar untuk habuan orang berduit di negeri China. Orang kita hanya makan durian kampung!