KUANTAN - Sejumlah 71,900 tan metrik hasil laut didaratkan di sembilan buah Pusat Pengisytiharan Ikan Negeri Pahang dari Januari sehingga September tahun ini.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashimah Baharuddin berkata, jumlah itu dijangkakan melonjak menjelang Disember nanti berikutan trend pendaratan dilihat semakin meningkat sejak awal September lalu.
Menurutnya, pendaratan keseluruhan hasil laut pada tahun lalu ialah 110,000 tan metrik manakala tahun ini sehingga September sudah 71,900 tan metrik hasil laut didaratkan direkod.
"Sejumlah 9,300 tan metrik hasil laut direkodkan pada September tahun ini berbanding 8, 400 tan metrik pada Ogos lalu. Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sehingga 900 tan metrik dalam tempoh sebulan.
"Kita menjangkakan ia akan meningkat lebih lagi. Pada bulan-bulan biasa purata kenaikan hasil laut adalah sekitar 7,000 tan metrik sebulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat LKIM di sini semalam.
Rashimah berkata, LKIM mencatatkan purata tangkapan ikan sekitar 5,000 hingga 7,700 tan metrik pada Januari hingga Mac setiap tahun.
Bagaimanapun katanya, rekod tersebut biasanya merosot sedikit sekitar Mei dan Ogos berikutan faktor musim ikan bertelur dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurutnya, menjelang September hingga awal bulan Disember ikan ditangkap begitu banyak di pusat-pusat pendaratan seluruh Malaysia terutama di Pantai Timur.
"Kenaikan ketara inilah yang membawa kepada permasalahan tidak cukup air batu serta kegagalan ikan untuk didaratkan daripada bot bot besar," katanya.
Pahang mempunyai sembilan pusat pendaratan atau pengisytiharan ikan awam, iaitu di Kompleks LKIM bandar Kuantan, Pusat Pengisytiharan Beserah, Pusat Pengisytiharan Cempaka dan Pusat Pengisytiharan Cherating Kuantan; Kompleks LKIM Kuala Pahang dan Pusat Pengisytiharan Pasir Panjang, Pekan; Kompleks LKIM Nenasi dan Kompleks Pendaratan Ikan Persatuan Nelayan Rompin serta Pusat Pengisytiharan Tanjung Gemok, Rompin.