Sanjar Shaakhmedov lengkapkan kuota import TFC

Iklan

KUOTA pemain import terakhir Terengganu FC (TFC) yang sebelum ini menjadi teki teka akhirnya terjawab bekas pemain kebangsaan Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov terpilih.

Pemilihan bekas pemain kelab gergasi Liga Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent yang berusia 29 tahun itu dijangka dapat menguatkan lagi Skuad Penyu bagi mengharungi Liga Malaysia (LM) musim ini.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Tengku Farouk Husin Tengku Jalil berkata pemain kaki kidal tersebut akan membentuk gandingan mantap di jentera tengah skuad Penyu bersama dua lagi pemain import iaitu Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin.

"Berdasarkan rekod, Sanjar adalah bekas pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent musim lalu yang muncul juara Liga Uzbekistan tiga tahun berturut-turut mulai 2016.

Iklan

"Selain itu beliau juga berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga tahun dan diharap kehadirannya akan memberi impak dan berita gembira buat pasukan serta peminat setia Skuad Penyu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pemilihan Sanjar juga bagi mengisi kuota Asia menggantikan pemain import Korea, Dong Do Hyun yang gagal mempamerkan prestasi baik pada musim lalu.

Iklan

Beliau berkata sekiranya semua urusan berjalan lancar, pemain itu bakal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Terengganu pada 4 Januari ini bagi memulakan musim baru bersama TFC.

"Pengesahan Sanjar sebagai pemain import kelima skuad Penyu sekali gus menamatkan teka teki dan penantian peminat sukan negeri yang selama ini tertanya- tanya siapakah pemain import yang akan bersama memantapkan jentera TFC.

Sebelum ini PBSNT turut mengumumkan 10 pemain baharu yang akan menggalas cabaran Liga M musim ini iaitu Ahmad Shamim Yahaya, Muhamad Khairu Azrin Khazali, Ilham Amirullah Razali, Khairul Anwar Shahruddin, Mohd Khairul Izuan Rosli, Azalinullah Mohd Alias, Haidir Suhaini, Shahrin Sapein dan Muhammad Mohd Fauzi selain penjaga gol skuad Piala Presiden negeri, Shafawi Mohamad.

Pemain sedia ada yang dikekalkan ialah pemain pertahanan Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Adib Aizuddin Ab Latif, Hasnizaidi Jamian, Nasrullah Haniff Johan, Mohd Radhi Mohd Yusof dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Turut dikekalkan penyerang berpengalaman, Mohd Ashari Shamsudin selain penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Mohd Suffian Abdul Rahman serta pemain tengah Mohd Shahrul Aizad Zulkufli dan Abdul Malik Mat Ariff. - Bernama