Penoreh getah rugi hampir RM10,000 ditipu 'Tuan Sam'

Iklan

KUANTAN - Seorang penoreh getah kerugian hampir RM10,000 apabila wang dalam akaun banknya dikeluarkan pihak lain tanpa kebenaran semalam.

Kejadian hanya disedari mangsa berusia 31 tahun dari Bera itu selepas dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank memaklumkan terdapat transaksi berjumlah RM9,999 dari akaun banknya ke sebuah akaun lain di atas nama seorang wanita tidak dikenali.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kemayan, Bera semalam.

"Mangsa mengesyaki pengeluaran wang melalui akaun banknya itu dilakukan seorang lelaki bernama Tuan Sam. Sebelum itu, dia menerima panggilan daripada seorang pegawai bank memaklumkan berhubung kad kredit.

Iklan

"Kemudian mangsa berurusan dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen Bank Negara itu bagi menyelesaikan kes kononnya dia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM7,000,"katanya.

Menurutnya, mangsa menafikan kerana dia tidak pernah menggunakan kad kredit, namun pada hari sama dia menerima panggilan daripada Tuan Sam yang kononnya ditugaskan untuk mengendalikan kes tersebut.

Iklan

"Lelaki tersebut mendakwa akaun bank mangsa diceroboh dan dia akan membantu membuat laporan polis berhubung kes tersebut sebelum meminta mangsa menyerahkan nombor kad banknya untuk dikemaskini," katanya.

"Mangsa akur lalu menyerahkan maklumat kad banknya seperti yang diminta dengan harapan kes itu dapat diselesaikan," katanya.

Mohd Wazir berkata, tindakan itu ternyata merugikan diri sendiri apabila ejen Bank Negara itu ialah 'scammer' yang menggunakan helah untuk 'menyedut' wang dari akaun mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.