MUADZAM SHAH- Peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Muadzam Shah di sini mengeluh apabila terpaksa menanggung kerugian besar ekoran serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman pokok nangka madu diusahakan mereka sejak hampir tujuh tahun lalu.
Serangan terbaru haiwan itu yang berlaku selama beberapa malam secara berturut-turut sejak 11 Oktober lalu hingga semalam.
Seramai 15 peserta kecewa selepas 15 lot kawasan membabitkan hampir 2,500 pokok nangka madu yang sudah berbuah musnah.
Ekoran kejadian, anggaran kerugian dialami keseluruhan peserta terlibat dianggarkan mencecah RM3.5 juta.
Seorang peserta, Muhammad Zakwan Zulkeply, 28 berkata, dia sendiri mengalami kerugian dianggarkan RM1.2 juta apabila 400 pokok nangka di lotnya yang sudah mengeluarkan hasil musnah akibat serangan haiwan itu kali ini.
Menurutnya, kerugian itu dianggarkan berdasarkan kos dan jangkaan hasil mencecah RM3,000 yang dikeluarkan bagi setiap pokok untuk tempoh lima tahun.
"Bayangkan kerugian keseluruhan yang dialami peserta kali ini apabila antara 300 hingga 400 pokok bagi setiap lot dimusnahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Zakwan berkata, masalah serangan gajah liar itu bukan perkara baharu sebaliknya berlaku sejak lima tahun lalu.
"Cuma dahulu kejadian tidak kerap tapi tahun ini sudah lebih 10 kali dan paling teruk tiga malam lepas apabila berlaku setiap malam.
"TKPM yang dibuka sejak 2013 ini ada 31 lot dengan 28 peserta dan rata-ratanya tanaman nangka yang diusahakan mereka sudah menjadi mangsa gajah liar ini.
"Ada yang terpaksa menanam balik namun kesudahannya kembali dimusnahkan haiwan ini,” katanya.
Dia berkata, kejadian itu sudah di bawah pengetahuan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Pertanian negeri apabila ada pegawai agensi ini turun meninjau kemusnahan tanaman di sini.
"Difahamkan kumpulan gajah ini mungkin dalam 10 ekor dan dipercayai dari Hutan Simpan Ibam yang berhampiran.
"Mungkin haiwan ini menceroboh masuk ke kebun kami untuk mencari makanan atau mungkin juga habitat mereka di kawasan itu telah diganggu,” katanya.
Muhammad Zakwan berkata, dia dan peserta lain kini hanya mampu mengeluh apabila tanaman yang diusahakan itu musnah sekaligus menjejaskan pendapatan mereka.
"Kami semua masih buntu dan mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.
"Kalau nak tanam semula pun tidak selesai. Pokok yang ditanam nanti akan mengalami nasib sama. Jadi kami tunggu tindakan dan mungkin bantuan daripada pihak berkuasa untuk peserta agar projek ini dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada peserta berhubung serangan gajah liar di TKPM itu dan siasatan juga sudah dijalankan pegawainya.
Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan gajah yang menceroboh dan memusnahkan tanaman peserta di situ antara tujuh hingga lapan ekor.
"Kita anggarkan ada antara 20 hingga 30 gajah di kawasan Hutan Simpan Ibam berhampiran dan kemungkinan kumpulan haiwan itu juga akan menceroboh ke TKPM Muadzam Shah untuk mencari makan jika tiada kawalan atau halangan.
"Saya sudah mengarahkan kakitangan PERHILITAN di Muadzam Shah untuk membuat rondaan pada waktu malam bagi memastikan kumpulan haiwan berkenaan tidak mencerobohi kebun nangka peserta.
"Selain itu, saya menyarankan supaya peserta turut melakukan rondaan, di samping membina halangan seperti pagar elektrik dan sebagainya bagi mengelak serangan haiwan liar itu terus berulang,” katanya ketika dihubungi.