iGuru gesa KPM siasat komik unsur provokatif

Iklan

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan berlaku pengedaran komik berunsur provokatif di beberapa sekolah di Pulau Pinang.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, jika benar ia berlaku, tindakan tegas perlu diambil kerana dibimbangi buku itu dikeluarkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bahan bacaan seumpama itu juga tidak sesuai untuk pelajar kerana boleh mengundang pemikiran negatif.

"Kita bukan menolak penggunaan komik sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran tetapi janganlah menimbulkan hal sensitif dan provokatif.

Iklan

"KPM perlu tegas dalam soal ini dan perlu menyiasat isi kandungan komik tersebut yang dibimbangi memalsukan fakta sejarah sebagaimana yang didakwa dan segera menghentikan edarannya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pelajar sepatutnya diberi ilmu dan maklumat yang murni supaya mereka tidak dipengaruhi fahaman yang salah.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Najib persoal komik didakwa berbentuk propaganda diedar di sekolah

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebooknya semalam mendakwa Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Pulau Pinang yang dibiayai kerajaan negeri itu sedang menyebar komik propaganda di sekolah menengah dan kebangsaan.

Propaganda dalam komik berkenaan mengagungkan DAP dan memberi gambaran yang kerajaan Malaysia hipokrit dalam memberi layanan kepada komunis dan memburukkan kerajaan lama.