KUANTAN - Rakyat di negeri ini disaran lebih kreatif dan inovatif dengan mencipta sesuatu yang baharu dan tidak terlalu mengharap peluang pekerjaan sedia ada.
Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sekiranya rakyat kreatif dalam menghasilkan sesuatu aplikasi perkhidmatan baru dan sekaligus menjana pendapatan melalui digital ekonomi.
Menurutnya, sebagai contoh inovasi terbaru yang dilakukan seperti Foodpanda Malaysia (foodpanda), perkhidmatan Grab dan sebagainya yang mampu memberi pulangan pendapatan lumayan.
"Kita harap rakyat Pahang bukan hanya menggunakan teknologi tetapi mereka mampu mencipta sesuatu baru dalam digital ekonomi.
"Jadi, kita tidak akan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sedia ada seperti perlombongan, pembalakan, perhutanan dan sebagainya dalam usaha meningkatkan pendapatan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya program East Coast Digital Transformation Summit 2019 di Hotel Zenith hari ini.
Lebih 150 peserta daripada lebih 60 agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam program tersebut.
Turut hadir sama, Pengarah Urusan Bintara Solution Sdn Bhd (BINTARA), Nor Faiz.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berharap Universiti Kolej Yayasan Pahang ( UKYP) dapat memainkan peranan mereka mencipta sesuatu baru pada masa akan datang.
"Pada hari ini kita dapat lihat 10 penuntut UKYP terlibat sebagai teknologi ambasador bagi membantu syarikat teknologi maklumat untuk memberi penerangan berkenaan teknologi.
"Jadi peluang ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi dan mengasah kemahiran mereka dalam bidang pembentang," katanya.
Sementara itu, Nor berkata, program ini diadakan bagi berkongsi pengetahuan mengenai teknologi terkini bagi membantu melakukan transformasi digital.
Menurutnya, sebagai firma teknologi maklumat tempatan, pihaknya akan membantu lebih banyak organisasi di pantai timur melakukan transformasi digital.
"Kita juga sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi bagi merealisasikan hasrat itu," katanya.