RAJASTHAN - Seorang warga emas di India mungkin menjadi ibu paling tua di dunia selepas melahirkan anak pada usia 75 tahun menerusi kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
Bulan lalu, seorang wanita dari negara itu, Erramatti Mangayamma, 74, melahirkan kembar perempuan melalui kaedah sama.
Prabha Devi melahirkan bayi sulungnya menerusi pembedahan di Hospital Kinker, Kota pada malam Sabtu lalu.
Bayi perempuan seberat 680 gram itu kini ditempatkan di unit penjagaan rapi dan terpaksa bergantung kepada bantuan sokongan hayat.
Bayi itu lahir pramatang pada usia 30 minggu kerana ibunya lemah akibat hanya mempunyai satu paru-paru yang berfungsi kerana faktor umur.
Suaminya, seorang pesara berusia 80 tahun sudah mempunyai anak angkat namun berhasrat ingin memiliki anak sendiri.
Sementara itu, Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Dr Abhilasha Kinker berkata, wanita itu disarankan melahirkan anak awal disebabkan komplikasi.
Dia telah mengandungkan bayinya lebih dari enam bulan yang sangat mengejutkan untuk umurnya.
"Dia sudah tua dan satu paru-parunya tidak berfungsi, jadi kami enggan mengambil risiko terhadap nyawa dia dan anaknya.
"Bayi itu mungkin meninggal dunia dalam kandungan sekiranya kami tidak melakukan pembedahan,” jelasnya.
Dr Abhilasha berkata, Prabha tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika ke hospital menyebabkan dia sukar mengesahkan usia sebenar wanita itu.
Sekiranya usia Prabha dapat dibuktikan dia akan menjadi wanita paling tua melahirkan anak.
Buat masa ini, rekod ibu paling tua melahirkan anak dipegang Elizabeth Adeney dari Britain yang menimang anak lelaki ketika usia 66 tahun pada Mei 2009. - Agensi