PUTRAJAYA - Kerajaan tetap mengambil tindakan jika wujud diskriminasi oleh majikan terhadap pemohon kerja walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus yang melindungi golongan itu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, Akta Kerja 1955 sedia ada lebih menjurus menjaga kepentingan mereka yang telah bekerja dan pencari kerja pula belum termasuk dalam skim pekerjaan.
Mahfuz berkata walaupun terdapat pihak menyatakan kebimbangan mengenai diskriminasi terhadap pencari kerja namun kementerian itu tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara tersebut.
Namun, katanya pencari kerja yang melalui pengalaman didiskriminasi boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk siasatan.
"Majikan berkenaan akan ditegur supaya mengelak daripada melakukan perbuatan tersebut,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai langkah melindungi pencari kerja selepas menghadiri Majlis Minggu Bahasa Peringkat Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.
Mengambil contoh tindakan terhadap sebuah syarikat di Sungai Petani, Kedah yang mengiklankan hanya mencari pekerja yang fasih berbahasa Mandarin, Mahfuz berkata, kecuaian membuat iklan sedemikian memberi persepsi majikan bersifat perkauman.
Walaupun tiada aduan rasmi, pihaknya telah menghubungi majikan terbabit dan dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan, yang majoritinya pekerja Melayu, memerlukan pekerja yang fasih berbahasa Mandarin atas faktor keperluan perniagaan, katanya.
"Kecuaian membuat iklan yang tidak cermat telah menimbulkan salah tafsir umum tetapi setelah diberi nasihat, syarikat tersebut memohon maaf atas kesilapan yang berlaku," katanya.
Beliau turut menegaskan adalah tidak wajar majikan meletakkan kelayakan diambil bekerja berasaskan isu-isu bersifat diskriminasi seperti jantina, bangsa, agama, kehamilan atau memakai pakaian menutup aurat.
Kementerian juga sentiasa berinteraksi dengan pihak majikan melalui pelbagai pendekatan seperti Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan bagi mengingatkan mereka supaya tidak melakukan amalan diskriminasi dalam pengambilan pekerja, katanya.
Pada Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dilaporkan berkata, Akta Kerja 1955 sedang disemak semula untuk dipinda dan dibawa ke Dewan Rakyat antara lain berkaitan isu diskriminasi di tempat kerja. - Bernama