IPOH -"Alhamdulillah, begitu hebat kuasa viral sehingga kini sumbangan diterima tidak putus-putus," demikian kata Bendahari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kampar, Khairul Alimi Kamarul Hailan berhubung kempen mengumpul dana bagi membantu meringankan beban sebuah keluarga yang terlibat dalam nahas di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhampiran Air Kuning Isnin lalu.
Kejadian sekitar jam 4.40 petang itu melibatkan sebuah van dinaiki enam sekeluarga hingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan yang juga kanak-kanak Pasti berkenaan, Nur Fathiah Mohd Fariz Azlan, 4.
Kemalangan menyebabkan ibu bapa mangsa, Mohd Fariz Azlan Eshak dan Normiza Nordin masing-masing 36 tahun kritikal dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan Hospital Teluk Intan.
Sementara kakak mangsa, Putri Maryam Batrisyia, 10, patah tangan dan adiknya, Siti Hajar, 2, serta anak jiran mereka, Liyana Husna Ahmad, 8, cedera dan menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Khairul Alimi berkata, sejak kempen itu digerakkan di media sosial Selasa lalu, sumbangan yang diterima sudah mencecah RM30,000.
"Niat kami hanya untuk membantu memandangkan keluarga ini mungkin akan kehilangan punca pendapatan.
"Mohd Fariz yang masih dirawat di hospital menyara keluarganya dengan berniaga di pasar malam.
"Kebetulan kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk pergi berniaga di pasar malam dan van yang menjadi kenderaan utama mereka juga habis rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, ujian menimpa keluarga itu turut memberi kesan kepada warga Pasti.
Katanya, selain Allahyarham Nur Fathiah, anak sulung keluarga itu, Putri Maryam Batrisyia turut menerima pendidikan awal di Pasti.
"Wang ini akan diserahkan kepada keluarga atau waris dalam masa terdekat agar boleh digunakan untuk perbelanjaan mereka.
"Sehingga hari ini masih ramai pihak yang menghubungi kami dan mahu menghulurkan sumbangan, selagi ada yang sudi menyumbang, selama itulah kami akan kumpul dana buat keluarga ini," katanya.
Orang ramai ingin menyumbang kepada keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke Maybank Pasti Kawasan Kampar melalui nombor akaun 558042604403.