Pemuda UMNO kecewa pemimpin PH 'bersorak' Utusan ditutup

Iklan
Shahril (tiga dari kanan) dan Khalid (empat dari kiri) bersama ahli panel lain dan penganjur forum.

SHAH ALAM - Pemuda UMNO kecewa dengan sikap segelintir pemimpin dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah gembira dengan penutupan syarikat akhbar, Utusan Melayu minggu lalu.

Naib Ketuanya, Shahril Sufian Hamdan berkata, setiap daripada pemimpin seharusnya ikhlas dan bukannya bersorak gembira dengan penutupan syarikat akhbar yang membawa suara orang Melayu itu.

Iklan
Iklan

"Jangan pula kita suka dengan penutupan akhbar ini. Utusan Melayu adalah suara orang Melayu. Jika dibandingkan dengan (sebuah) portal atas talian ini lagi teruk dalam menyiarkan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum bertajuk Kelangsungan"Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit" di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam hari ini.

Iklan

Ahli panel lain turut terlibat ialah Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Penasihat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar.

Shahril Sufian berkata demikian kerana mahu menegur Khalid yang sebelum itu menyatakan penutupan syarikat Utusan Melayu disebabkan akhbar itu menjadi alat propaganda kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).

Iklan

Khalid pada sesinya itu berkata, akhbar Utusan ditutup bukan kerana orang ramai tidak berminat membaca sebaliknya ia menjadi alat propaganda kerajaan BN ketika itu untuk menyerang pembangkang.

Beliau menegaskan, sepatutnya media cetak boleh terus 'hidup' kalau pengisiannya berbentuk bebas tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan benar-benar menjadi suara rakyat.

"Ini tidak berlaku kepada akhbar Utusan Malaysia yang berterusan menyiarkan berita berat sebelah sehingga akhirnya ia ‘mati’ dan tidak lagi beroperasi sejak lebih seminggu lalu.

"Ketika ini media cetak bersaing dengan media digital tetapi memandangkan rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan berita seimbang, mereka memilih untuk mendapatkan maklumat melalui media digital.

"Walaupun kita tidak tahu sejauh mana teknologi media digital ini boleh bertahan tetapi nampak jelas, media cetak makin dipinggirkan dan dilupakan,” katanya

Katanya, orang ramai tidak boleh memandang remeh media cetak negara ini kerana peranannya terlalu besar dan dapat menyelamatkan sesebuah kerajaan daripada fitnah laporan berita menerusi media digital.

Menurutnya, apabila media digital berleluasa kerajaan PH berkongsepkan Malaysia baharu kemudiannya berdepan pula dengan fenomena berita palsu menerusi medium media digital.

Oleh itu, katanya, yang boleh melawan penyebaran berita palsu di media digital ini ialah media cetak kerana setiap maklumat hendak disiarkan melalui media cetak akan melalui tapisan yang ketat.

"Kesimpulan saya, kerajaan lama (BN) jatuh kerana berleluasanya era media digital dan kerajaan baharu (PH) pula bangkit disebabkan media digital,” katanya.