SUBANG JAYA - Hujan lebat berterusan selama beberapa jam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Subang Jaya dinaiki air dalam kejadian banjir kilat petang tadi.
Difahamkan kejadian turut mengakibatkan beberapa kenderaan terperangkap.
Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) menerusi satu kenyataan memaklumkan kawasan-kawasan terlibat mula mengalami banjir kilat sekitar jam 3.30 petang.
"Antara kawasan yang terlibat adalah Persiaran Bakti USJ 11, Persiaran Kewajipan di hadapan summit, USJ 8 di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya.
"Kawasan lain yang terlibat antaranya berhampiran lampu isyarat Persiaran Tujuan, lampu isyarat Persiaran Mulia, bersebelahan Da'Men Mall, Persiaran Subang Indah dan Jalan TP 2," katanya.
Katanya, pihaknya sentiasa memantau kejadian ini dari semasa ke semasa.
"Seramai tujuh anggota ditugaskan bagi memantau perkembangan kejadian ini.
"Air kemudiannya dilaporkan surut tidak beberapa lama kemudian," katanya.
Sementara itu, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Taman Sri Muda dan beberapa kenderaan dilaporkan terperangkap.