ALOR SETAR - Sebut sahaja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ramai yang salah faham dan beranggapan bahawa ia adalah caruman khas untuk mereka yang bekerja dengan majikan sahaja.
Ketua KWSP Negeri Kedah dan Perlis, Azmi Ismail berkata, sebenarnya golongan yang bekerja sendiri seperti petani di kedua-dua negeri ini layak untuk mencarum di bawah skim i-Saraan atau Caruman Sukarela Dengan Insentif Persaraan.
Menurutnya, ia merupakan pelan caruman yang boleh orang ramai lakukan walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap iaitu dengan nilai caruman bermula RM1 sehingga RM60,000 setahun.
"Kita tahu petani menerima hasil secara bermusim iaitu dua kali setahun, walau bagaimanapun mereka masih boleh mencarum di KWSP mengikut amaun dan kemampuan sendiri.
"Mereka boleh mula mencarum sekarang dan andai bulan hadapan mereka tidak mencarum sebab tak ada duit, bulan seterusnya apabila ada duit mereka boleh mencarum semula. Tidak ada halangan bagi KWSP untuk tidak menerima caruman mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, selain daripada duit simpanan yang telah dicarumkan mereka juga boleh menikmati dividen tahunan ke atas simpanan persaraan tadi.
"Ini kelebihan sekiranya mereka mencarum di KWSP, ramai individu yang mula terbuka hati untuk mencarum setelah mendengar pelbagai manfaat yang akan diperolehi.
"Bagi saya sekiranya masih ada segelintir masyarakat terutamanya petani yang masih kurang jelas tentang KWSP, saya sarankan mereka hadir ke Seminar Celik Kewangan KWSP di Royale Signature Hotel, esok," katanya.
Tambahnya, seminar berkenaan akan menceritakan dengan lebih mendalam tentang KWSP dan bagaimana orang ramai boleh menyimpan dengan lebih sistematik untuk masa hadapan.
"Saya yakin ramai ahli-ahli KWSP yang akan turut serta dalam seminar berkenaan kerana ia adalah platform terbaik untuk mereka mendapatkan penerangan secara semuka dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan kami.
"Malah ini juga adalah platform terbaik yang mana Sinar Harian sebagai media rasmi seminar ini dapat membantu menghebahkan maklumat dengan lebih berkesan kepada mereka yang bakal mencarum dengan KWSP," katanya.