Suara kebangkitan Melayu kerana rasa marah, gusar

Iklan
Wan Ahmad Wan Omar

SHAH ALAM - Suara kebangkitan orang Melayu pada hari ini didorong oleh rasa marah, gusar dan tergugat kaum itu di negara ini.

Naib Presiden Persatuan Gerakan Qiam (Qiam), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, apa yang berlaku kepada politik negara pada hari ini sama seperti apa yang berlaku di Malaysia selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan kebangkitan ini bukan sahaja berlaku dalam parti politik mewakili Melayu Islam malah NGO (badan bukan kerajaan) dan orang Melayu. Kegusaran mereka ini mungkin kerana risaukan masa depan negara, orang Melayu dan anak cucu mereka kelak," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 135, Kenapa Melayu Bangkit? di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Wan Ahmad berkata, antara masalah yang dihadapi oleh orang Melayu sejak daripada dahulu lagi ialah soal ekonomi dan perpecahan politik tetapi kebangkitan ini berlaku kerana suatu peristiwa yang tidak diduga.

Iklan

"Melayu bangkit selepas 13 Mei 1969. Pada masa itu Pilihan Raya Umum (PRU 1974), Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Razak Hussein sedar ancaman perpaduan dan kerajaan ditunjangi UMNO ketika itu tubuhkan BN (Barisan Nasional).

"Kebangkitan itu dapat dilihat dengan BN memenangi PRU dengan majoriti dua pertiga selama enam pilihan raya. Ia merupakan satu panggilan selepas terlena," katanya.

Iklan

Beliau turut mendakwa, apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini lebih teruk daripada peristiwa 13 Mei kerana pelbagai faktor antaranya keretakan sosial.

"Saya memantau politik negara secara dekat dan penyatuan ummah antara UMNO dengan Pas bukan sahaja melibatkan parti politik malah NGO dan orang biasa rasa terpanggil untuk melakukan sesuatu.

"Tidak terfikir UMNO dan Pas sebagai parti terbesar mewakili Melayu Islam boleh duduk semeja membincangkan tentang nasib orang Melayu yang akhirnya dizahirkan dengan permeteraian Muafakat Nasional," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Keistimewaan Melayu sedang dipersoal, dihapuskan'- Shamrahayu

Wan Ahmad berkata, penyatuan kedua-dua parti tersebut merupakan rahmat besar kepada orang Melayu di negara ini kerana perpecahan tidak akan membawa sebarang kebaikan.

"Kalau selepas PRU14, UMNO dan Pas tidak mahu berubah atau berdamai masa depan politik Melayu akan gelap. Memang sepatutnya penyatuan ini berlaku.

"Tidak dinafikan politik di Malaysia berlandaskan perkauman kerana setiap parti yang ditubuhkan pasti akan memperjuangkan soal agama dan bangsa sesuatu kaum. Jadi kalau berlandaskan tidak ada alasan untuk tidak mahu bersatu," katanya.