KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini melancarkan buku berjudul"Salasilah Perlis: Transliterasi Dan Analisis” di Pavilion Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (Frankfurt Buchmesse) 2019 di Jerman.
Buku itu diterbitkan melalui kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin berkata, baginda dalam titah ucapannya menzahirkan rasa bangga atas penerbitan sebuah buku sejarah negeri Perlis yang pertama berpandukan fakta-fakta sebuah manuskrip Melayu yang berada dalam koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1963 lagi.
Titah baginda, buku yang dianggap Lost Manuscript itu dengan kod katalog MS85 telah dipulihara oleh pihak DBP sebelum diterbitkan selepas separuh abad, mengabadikan suka duka dalam liku-liku perjuangan Wangsa Jamalullail dan segenap lapisan rakyat untuk mengasaskan negeri Perlis yang berdaulat dan merdeka.
"Sesungguhnya karya ini merupakan manifestasi warisan sejarah, mercu tanda kesusasteraan dan penanda aras kebudayaan anak watan Perlis.
"Peristiwa sebegini amatlah bersejarah kepada saya sendiri sebagai Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua Majlis MAIPs," titah baginda.
Baginda turut berharap agar dengan penerbitan buku ini para penyelidik khasnya dan seluruh dunia umumnya akan memperoleh sumber rujukan dari kaca mata anak watan yang bersifat ‘Perlis sePerlisnya’.
Sementara itu, keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin di tapak pesta buku itu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarahnya Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.
Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, M Mukundan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam pada itu baginda juga mengucapkan penghargaan kepada para penulis iaitu Dr Hazman Hassan (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz (Pensyarah Universiti Malaysia Perlis - UniMAP), DBP, MAIPs dan semua pihak yang telah berusaha keras bagi menjadikan penerbitan buku ini sebagai suatu kenyataan.
Pameran Buku Frankfurt ini merupakan antara pameran buku terbesar dunia yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun dan dilangsungkan selama lima hari bermula 16 hingga 20 Oktober 2019 di Frankfurter Messe (Frankfurt Trade Fair), Frankfurt Am Main, Jerman. - Bernama