KUALA LUMPUR - Sesi persekolahan yang bermula kelmarin kebiasaanya mengujakan namun, situasi berbeza bagi kira-kira 140 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Cheras di sini yang terpaksa dipindahkan ke blok asrama lain apabila blok asrama mereka masih belum siap dibaikpulih.
Blok asrama tiga tingkat itu dikatakan sedang melalui proses baik pulih melibatkan pendawaian elektrik, serta bumbung dan dijangka siap pada 10 Januari depan.
Sumber ibu bapa pelajar berkata, disebabkan blok berkenaan belum boleh diduduki, pelajar-pelajar yang sepatutnya ditempatkan di blok itu perlu ditempatkan sementara di bangunan lain yang kosong.
Bagaimanapun katanya, kebimbangan berterusan apabila kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 1 dijadualkan mendaftar masuk pada 8 Januari depan.
"Pelajar yang dipindahkan sementara ke blok lain ini gunakan blok asrama tingkatan 1, jadi jika blok B masih belum siap dibaikpulih, bagaimana dengan mereka semua nanti?
"Perkara ini yang menjadi kebimbangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka semalam. Sepatutnya kontrak dimulakan dan disiapkan sebelum pelajar masuk ke asrama,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, bangunan sekolah berkenaan memang memerlukan proses baik pulih memandangkan keadaannya yang agak teruk namun dilaksanakan secara berperingkat.
Sumber berkenan turut mendakwa peruntukan sekurang-kurang RM1 juta diperlukan untuk proses baik pulih bangunan itu secara keseluruhannya namun kekangan peruntukan menyebabkan proses kerja baik pulih blok asrama tersebut menjadi perlahan.
"Baik pulih salah satu blok ini adalah permulaan untuk proses tersebut setelah mendapat peruntukan RM400,000. Difahamkan kerja-kerja bagi aras tiga telah siap dan kita masih lagi menunggu perkembangannya.
"Dimaklumkan pengurusan tertinggi sekolah sedang memastikan perkara itu dapat diatasi sebelum pelajar tingkatan 1 masuk,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) sekolah tersebut ketika dirujuk Sinar Harian berhubung masalah tersebut untuk penjelasan, enggan mengulas lanjut.