SHAH ALAM -"Tiada kompromi, kita akan ambil tindakan tegas terhadap pemandu Grab yang terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah," tegas Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali, 36.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai tingkah laku setiap pemandu Grab agar mereka sentiasa memenuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan.
Menurutnya, pihak Grab juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menggantung perkhidmatan pemandu terbabit dan menyenarai hitamkan mereka.
"Kalau kita dapat laporan mengenai penglibatan pemandu Grab dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang akaun pemandu Grab itu boleh digantung.
"Sekiranya laporan itu didapati benar pemandu Grab terbabit mungkin dia tidak dapat lagi memandu untuk Grab sepanjang hayatnya," katanya dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, taktik licik seorang pemandu Grab meraih pendapatan sampingan melalui kegiatan membungkus dan mengedar dadah menggunakan bungkusan minuman 3 dalam 1 mengundang padah apabila ditahan dalam satu serbuan di Ipoh.
Lelaki berusia 24 tahun berkenaan ditahan dalam rumah kedai di Kampung Simee ketika serbuan pada jam 2 pagi.
Polis turut merampas 15 kilogram serbuk dadah yang diisi dalam 245 paket minuman segera, 50 biji pil ekstasi, 11 gram ketamin dan cecair disyaki dadah yang diisi dalam botol minuman seberat 2.77 liter.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, kesemua rampasan dadah bernilai RM753,295 itu dipercayai untuk edaran penagih sekitar Ipoh dan di pusat hiburan.