DALAM alam pekerjaan, seseorang itu pastinya akan diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran bagi melihat sejauh mana nilai dan etika semasa melakukan pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.
Hal-hal itu secara tidak langsung pastinya akan memberi kesan dan melahirkan bibit-bibit permasalahan yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kerja itu sendiri. Antara beberapa masalah yang sering berlaku dalam kalangan pekerja sama ada sektor awam mahupun swasta ialah membuang masa di pejabat, ponteng kerja, memalsukan sijil sakit, salah guna harta pejabat dan lain-lain perkara yang salah di sisi etika kerja. Oleh sebab itu, integriti perlu ada dalam diri kita.
Integriti merujuk kepada sifat jujur dan telus dalam menjaga nama baik daripada melakukan sebarang bentuk penyelewengan. Seseorang yang tiada kesedaran integriti dalam dirinya, pasti akan menganggap segala perlakukan dan tingkah lakunya tidak salah dari sudut etika kerja. Walhal sebenarnya, ia akan menjejaskan reputasi diri sendiri dan organisasi.
Disebabkan itu, kadangkala kita merasakan ada sahaja yang tidak cukup dalam keperluan hidup kita seharian tanpa memikirkan apa yang telah kita lakukan dalam pekerjaan. Ada segelintir orang, masuk ke pejabat awal dan pulang lewat setiap hari, tetapi masih merasakan tidak sempurna atas setiap kerja yang dilakukannya. Ia secara tidak langsung sebenarnya berkaitan dengan integriti dalam diri kita sendiri.
Kesedaran
Justeru, bagi memastikan perlaksanaan integriti dalam diri setiap manusia tidak kira sama ada pemimpin negara, ahli politik, pegawai atasan mahupun staf bawahan, ia memerlukan kesedaran awal dalam setiap diri masing-masing. Sudah tentu, kesedaran itu timbul daripada kesucian dan ketulusan hati termasuk jiwa yang berlandaskan kepada keutuhan akhlak dan budi pekerti sempurna.
Tambahan lagi, selain daripada penguatkuasaan undang-undang kepada si pelaku melalui hukuman-hukuman tertentu, persekitaran tempat kerja juga memainkan peranan agar penghayatan penuh terhadap integriti itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Selain bersikap ikhlas dan jujur dalam melaksanakan sesuatu kerja, kita digalakkan sentiasa bersikap benar dalam setiap aspek agar dapat mendorong diri untuk sentiasa ikhlas dalam melakukan sebarang tindakan. Namun, kebenaran itu merupakan satu sifat yang sangat sukar untuk diperlihatkan dalam kalangan pekerja itu sendiri pada zaman teknologi kini yang mana kebanyakan manusia mementingkan harta, pangkat, kedudukan dan kuasa.
Maka, kita perlu sentiasa bersifat benar dalam semua perkara sebagaimana Saidina Ali bin Abi Talib meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW:"Sesungguhnya benar itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keresahan.”
Sesiapa yang sentiasa bercakap benar, pastinya segala kerja yang dilakukan akan berada dalam keadaan tenang. Sebagai tanggungjawab sesama manusia, kita hendaklah saling ingat mengingati antara satu sama lain sekiranya ada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan di tempat kerja.
Janganlah kita mementingkan diri sendiri dengan tidak menegur seandainya kita mengetahui rakan kita melakukan kesalahan. Begitu juga sebaliknya apabila mendapat teguran atas kesilapan yang kita lakukan sewaktu bekerja. Dengan itu, kita akan sentiasa peka atas setiap apa yang kita lakukan dalam memastikan integriti dapat dipraktikkan dengan sebaiknya.
Oleh itu, marilah kita bekerja dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti agar rezeki yang kita peroleh itu mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.
Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika seseorang itu sering melakukan amal sama ada baik ataupun buruk, pasti ia akan dilihat oleh orang ramai walaupun dia cuba menyembunyikannya. Ia adalah kerana individu tersebut akan dilabel berdasarkan perlakuan yang dilakukannya itu.
Sehubungan itu, kita haruslah ingat bahawa setiap perlakuan kita sentiasa diperhatikan oleh ALLAH SWT setiap saat. Bekerjalah dengan sebaiknya dan pastikan kita berintegriti dalam setiap langkah dan gerak-geri kita.
Dalam pada itu juga, bersama-sama kita memastikan supaya setiap daripada kita mempunyai akhlak yang baik bagi melahirkan individu yang ikhlas dan amanah.
Apabila sifat mulia itu mampu dimiliki oleh setiap manusia tidak kira dalam bidang pekerjaan atau dalam kehidupan seharian, maka sudah pasti ia akan melahirkan masyarakat dan negara yang terus maju.
***Rafiuddin Mohd Yusof merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Kampus Segamat, Cawangan Johor.