PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer meminta penyokong memahami perancangan jangka panjang dan tidak terburu-buru menghukum kelab itu selepas prestasi hambar dipamerkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurutnya, The Red Devils mempunyai cita-cita tinggi dengan mengutamakan pemain muda dalam usaha memastikan kelab itu dapat bersaing dalam EPL untuk tempoh beberapa tahun lagi.
"Tidak pernah jadi tugas mudah untuk memberikan pesan kepada penyokong. Tetapi kami mempunyai cita-cita untuk menjadi juara. Anda mahukan trofi dan kami perlu bermain dengan cara yang betul.
"Dalam masa sama, kelab mahu berikan peluang kepada pemain muda. Kami ada beberapa pemain muda yang bagus dan kami tengah mencipta sesuatu untuk masa depan. Kami merekrut untuk masa depan.
United ketika ini dihujani kritikan pelbagai pihak selepas permulaan hambar dalam saingan liga musim ini dan hanya mampu meraih dua kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan dan terperosok di kedudukan ke-12.
Situasi itu menyebabkan masa depan Solskjaer berada dalam keadaan tidak menentu dengan beberapa nama pengganti muncul bagi menggantikan pengendali kelahiran Norway itu.
Namun, Solskjaer tidak mahu memikirkan mengenai perkara tersebut dan menegaskan pengurusan United masih mempercayai cara kerjanya.
"Saya mengikuti segala arahan yang diberikan oleh pengurusan dan tugas saya adalah membawa kembali pasukan ke landasan kemenangan. Saya tidak memikirkan mengenai perkara lain yang boleh mengganggu tugas saya," katanya.