RIVNE - Seorang ibu tergamak memukul bayinya berusia sebulan sebelum keluar dengan teman lelakinya dan meninggalkan anak itu sendirian di rumah.
Bayi lelaki itu, Mykyta mengalami lebam di kedua-dua matanya selain hidung berdarah ditemui oleh jirannya di rumah di bandar Rivne, rantau barat Ukraine.
Menurut laporan Mail Online, Mykyta dan ibunya yang berusia 19 tahun tinggal bersama di sebuah rumah kebajikan sosial.
Pada 15 Oktober lalu, ibunya keluar rumah dan tidak membawa anaknya hingga menimbulkan kebimbangan jiran tetangga.
Ini kerana ibunya tidak pulang sehingga lewat malam.
Tetiana Prymak, berkata, ketika mereka masuk ke bilik, bayi Mykyta berada di atas katil.
"Mata kanannya hitam. Hidungnya tersumbat dengan darah kering dan dia hampir tidak bernafas.
"Kami mula menukar pakaiannya dan melihat lebam hitam seluruh tubuhnya. Seorang wanita yang berada di dalam bilik itu pengsan setelah melihat kekejaman ibu terhadap anak sendiri," katanya.
Sehubungan dengan itu, jiran menghubungi ambulans dan polis sebelum Mykyta dikejarkan ke hospital.
Menurut Ketua Unit Penjagaan Rapi, Hospital Kanak-kanak Rivne, Mykhailo Kulik berkata, bayi itu berada dalam keadaan kritikal dan mendapati tempurungnya retak.
"Bayi lelaki ini berada dalam kritikal dan buat masa ini kita mendapati tempurungnya retak, namun kita akan lakukan pemeriksaan lebih lanjut.
"Saya berasa sedih, tidak pernah melihat bayi dalam keadaan teruk, saya fikir ibunya tidak pernah menjaganya dengan baik malah tidak pernah menukar lampinnya kerana kulitnya juga sangat teruk," katanya.
Dalam pada itu, ibu telah ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut.
Jurucakap polis, Anton Kruk berkata, wanita itu mengalami tekanan kerana bayi itu sering menangis tanpa henti.
"Pada tarikh itu, dia mahu bertemu dengan teman lelaki namun bayinya sering menangis hingga membuatkan dia hilang pertimbangan lalu memukul anaknya," katanya.