KOTA BHARU - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahu Universiti Malaya (UM) mengenakan hukuman setimpal terhadap seorang mahasiswa universiti itu yang dilihat biadab apabila melakukan perkara yang tidak sepatutnya ketika upacara pengambilan skrol di pentas konvokesyen baru-baru ini.
Presidennya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, tindakan mengangkat plakad dan mengaitkan kepimpinan tertinggi universiti sebagai rasis, biadab dan tidak menghormati etika serta adat istiadat majlis graduasi yang sedang berlangsung.
"GPMS melihat tindakan tersebut sekadar ingin menunjuk 'besar kepala' dan mengambil kesempatan ke atas prinsip kebebasan bersuara Malaysia baharu malah mencemarkan satu upacara penting yang mengangkat kesarjanaan siswa.
"Insiden memalukan ini bermula apabila Naib Ketua Kesatuan Mahasiswa UM mendakwa Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim bersifat rasis di Kongres Maruah Melayu. Tuduhan ini bagaimanapun tidak berasas dan ia dianjurkan bersama beberapa universiti awam lain,” katanya melalui satu kenyataan di sini.
Menurutnya, GPMS tidak menghalang mahasiswa berekspresi dan meluahan pendapat tetapi perlu dengan cara dan adab serta ruang lingkup undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes graduan protes di pentas konvokesyen
Beliau berkata, jika benar pun Naib Canselor telah melanggar etika ahli akademik dan pengurusan universiti, GPMS mencabar graduan dan kelompok cauvinis terbabit membuat laporan polis berkenaan tuduhan mereka.
"Tindakan provokasi yang kurang cerdik ini dilihat sebagai dangkal dan mungkin dipengaruhi oleh mana-mana gerakan dan elemen yang bersifat cauvinisme.
"GPMS memberi amaran agar graduan itu memohon maaf secara terbuka dan sukarela terlebih dahulu kepada Naib Cancelor UM.
"Kami juga menggesa Persatuan Alumni UM untuk tidak menerima graduan ini sebagai ahlinya sehingga beliau mengemukakan permohonan maaf beliau.
"GPMS mengalu-alukan gerakan pelajar dan mahasiswa di Malaysia bersifat vokal dalam mengutarakan isu namun biarlah adab dan tertib seorang mahasiswa itu mengikut peraturan universiti dan undang-undang negara,” katanya.