DULU, saya pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangan saya menentang rasuah dan salah guna kuasa. Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri setelah 4 tahun berpenat lelah menuntut ilmu?
Akhirnya,"majlis konvokesyen” di airport bersama mama dan abuyah.
- Dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat.
- Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna orang lain tercalar. Majlis Konvokesyen adalah majlis untuk kita meraikan kejayaan para pelajar dan yang lebih penting, untuk ibu bapa bangga melihat anak-anak mereka bersarung jubah dan menerima segenggam ijazah.
- Mungkin bagi kita, segulung ijazah tidak penting, tetapi bagi ibu dan bapa kita, itu sangat bermakna dan membahagiakan.
- Saya tidak nafikan hak pelajar untuk bersuara tetapi saya secara peribadi percaya itu bukanlah tempat yang terbaik untuk protes kerana hari itu bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk kawan-kawan dan keluarga mereka juga.
- Setiap orang bebas untuk bersuara dan itulah juga yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi. Jadi, saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti mahupun negara.
- Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju.
- Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan gesaan untuk menarik balik ijazah pelajar itu. Kita boleh kritik dan kecam tindakan beliau tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih 4 tahun.
- Ruang kebebasan harus dipandu dengan sikap bertanggungjawab. Saya menghormati hak demokrasi setiap rakyat tetapi setiap tindakan harus datang bersamanya tanggungjawab. Kita raikan demokrasi yang matang dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh pelajar dan universiti.-
Apa-apapun, tahniah saya ucapkan kepada semua siswa yang sudah berjaya merangkul segulung ijazah. Make your Malaysia proud!
*Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Menteri Belia dan Sukan Malaysia