KAJANG - Wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di Batu 11, Seksyen 2 Cheras dikatakan meminta RM120 sebagai upah teman berhibur.
Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, perbuatan itu antara kegiatan haram yang dikesan dilakukan di lokasi berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, seramai 12 wanita warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan melalui Ops Noda yang dilakukan kira-kira jam 11 malam tadi.
"Polis turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki penjaga kaunter selain merampas bil serta wang tunai. Semakan juga mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen sah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis ini sudah beberapa kali diserbu namun masih menjalankan operasi secara haram.
Katanya, premis terbabit juga dipercayai menggaji GRO untuk melayan pelanggan dengan bayaran RM120 bagi tempoh empat jam.
"Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen serta Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995," katanya.