Malah kata Ernie, dia hampir menarik diri daripada menjayakan drama arahan Pali Yahya itu kerana tertekan dengan pelbagai cabaran yang dilaluinya.
Menangani watak sebagai gadis psiko, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, tidak menyangka karakter tersebut memberikan kesan emosi yang cukup besar buatnya.
Apatah lagi sebagai pelakon baharu, dia masih belajar banyak perkara dan mudah berasa tertekan dengan cabaran demi cabaran yang diberikan.
"Saya menerima tawaran membintangi drama Suri Katrina kerana fikir mungkin inilah peluang mencuba bakat dalam bidang lakonan.
"Lagipun saya difahamkan hanya terbabit dalam sembilan episod sahaja daripada 49 episod keseluruhannya. Namun tak sangka pula walaupun hanya untuk beberapa episod, komitmen yang perlu diberikan adalah berganda kerana watak sebagai gadis psiko itu sangat berat.
"Bila pengarah suruh saya menangis secara tiba-tiba memang tak keruan jadinya. Jujur saya katakan, lakonan sangat-sangat susah bagi saya,” luah Ernie.
Bagaimanapun, kata Ernie dia bernasib baik kerana dikeliling rakan-rakan pelakon yang sudi membantunya dengan berkongsi pelbagai ilmu lakonan dalam usaha untuk sama-sama memberikan yang terbaik buat drama tersebut.
Justeru, kesukaran yang dilalui pada hari-hari awal penggambarannya itu akhirnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan buat Ernie kerana berpeluang belajar banyak perkara baharu dalam lakonan.
"Ketika mula-mula dapat tahu saya bakal bergandingan dengan nama-nama besar seperti Hasnul Rahmat, Zulhuzaimy dan Nadiya Nisaa dalam drama ni, memang tidak senang duduk jugalah.
"Namun bila dah bekerja dengan mereka, semuanya jadi mudah. Walaupun bakat mereka hebat, tetapi masing-masing bersikap merendah diri dan memberikan vibe yang cukup positif di set penggambaran.
"Apa pun, saya tidak terfikir untuk menjadikan lakonan sebagai salah satu cabang baharu kerjaya seni saya. Buat masa ini mungkin hanya Suri Katrina sahaja, kerana saya kecenderungan saya lebih kepada nyanyian,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ernie bakal tampil dalam Konsert Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 14 dan 15 November depan.