Justeru kata pemilik nama sebenar Nur Fatima Abdul Wahab, 36, keputusannya untuk menyertai Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang telah memulakan persaingannya pada 13 Oktober lalu sebagai sesuatu yang tepat.
Ternyata sokongan dan sambutan yang diberikan peminat pada konsert minggu pertama itu memberikan semangat baharu kepadanya untuk memberikan yang terbaik.
"Sebenarnya saya terkejut dengan respons yang diberikan peminat. Maklumlah saya dah lama tak muncul menyanyi, apatah lagi menetap di luar negara dalam tempoh yang lama.
"Walaupun ada perasaan gementar kerana sudah lama tidak tampil di pentas besar begini, saya janji untuk tidak akan mengecewakan peminat,” katanya yang menyampaikan lagu hitsnya, Selembut Sutera pada konsert minggu pertama.
Dalam pada itu, Nur Fatima yang lebih mesra disapa sebagai Nur, mengakui selepas menyertai GV6, dia kini mula aktif di media sosial untuk berkongsi aktiviti seninya.
"Kalau ikutkan saya sebenarnya kurang aktif di media sosial kerana jujurnya saya tidak tahu nak kongsi apa di platform tersebut memandangkan saya tidak minat bercerita tentang kehidupan peribadi secara terbuka.
"Apabila masuk masuk GV, barulah saya rasa ada sebab untuk berkongsi banyak perkara di situ. Kalau dulu saya hanya update sebulan sekali sahaja, sekarang mungkin lebih kerap.
"Selain berkongsi aktiviti seni, saya juga berpeluang untuk lebih dekat dengan peminat. Boleh membaca komen dan berinteraksi secara terus dengan mereka,” katanya.
Berkongsi tentang kehidupannya kini, kata Nur, selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Audio di Sydney, dia memutuskan untuk terus menetap di sana setelah bertemu jodoh dengan warga Australia, Mohammad Jeffry wain Wright, 50, pada 2013.
"Selepas berkahwin, saya menetap di Canberra dan bekerja sebagai guru sambilan prasekolah sehinggalah kini.
"Memang jarang balik Malaysia, kecuali untuk melawat keluarga atau atas urusan kerja. Cuma kali ini saya balik dalam tempoh yang lama kerana terlibat dengan GV.
"Jadi buat masa ini, terpaksalah berjauhan dengan suami. Insya-ALLAH pada konsert minggu kedua nanti, dia akan datang tengok. Bagaimanapun dia tidak lama di sini kerana terikat dengan kerja,” katanya.